PRN Sabah: Kerjasama PH-BN tamparan hebat buat DAP Sabah

KOTA KINABALU - Naib Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Yit Jee menyifatkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai satu 'tamparan hebat' kepada DAP Sabah yang sebelum ini mendakwa mempunyai kuasa autonomi sendiri.

Yit Jee yang juga Ahli Majlis Tertinggi SAPP berkata, janji pimpinan pusat DAP yang kononnya memberi kuasa penuh kepada DAP Sabah hanyalah janji kosong.

“Pada 10 November 2024, Setiausaha Agung DAP sendiri mengisytiharkan bahawa DAP Sabah telah diberikan autonomi untuk berunding dan membuat keputusan sendiri dalam kerjasama politik.

“Namun, dalam tempoh kurang daripada setengah tahun, pengumuman terkini oleh Kerajaan Perpaduan membuktikan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Yit Jee berkata demikian sebagai merujuk kenyataan rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang jelas menyatakan bahawa segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana autonomi yang sering dilaungkan oleh DAP Sabah sedangkan keputusan agihan kerusi ditentukan di peringkat pusat.

“Saya ingin bertanya kepada DAP, baik di peringkat pusat mahupun Sabah, inikah yang mereka maksudkan sebagai 'autonomi'?

“DAP Sabah bahkan tidak mampu membuat keputusan sendiri tentang agihan kerusi. Semuanya ditentukan di Kuala Lumpur, namun mereka masih berani memberitahu rakyat bahawa mereka ada autonomi,” katanya.

Mengulas lanjut, Yit Jee menyifatkan DAP Sabah tidak konsisten dengan kenyataan mereka sebelum ini yang menafikan sebarang kerjasama dengan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, namun akhirnya duduk bersama dalam kerajaan selepas pilihan raya.

“Kini, DAP Sabah lebih teruk apabila menjadi boneka yang sekadar melaksanakan keputusan pimpinan pusat PH dan BN, sekali gus mengkhianati janji asal kepada rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah bukan pelupa. Satu kenyataan rasmi dari kerajaan pusat sudah cukup untuk membongkar semua penipuan DAP Sabah. Mampukah mereka masih berani berdepan dengan pengundi dan mendakwa bahawa mereka mewakili Sabah?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sabah memerlukan parti yang berprinsip, berakar di bumi tempatan dan tidak tunduk kepada tekanan atau arahan daripada pusat.

“Apa yang benar-benar diperlukan Sabah ialah parti yang teguh dengan pendirian tempatan dan tidak tunduk kepada kuasa pusat, bukannya agen politik yang hanya pandai melaungkan slogan tetapi tunduk kepada arahan dari Kuala Lumpur.

“Sabah bukan jajahan parti-parti dari Semenanjung dan kuasa untuk menentukan masa depan Sabah tidak seharusnya berada jauh di Kuala Lumpur.

“Rakyat Sabah berhak mendapat autonomi dan hak menentukan nasib sendiri, bukan dikawal dari luar,” katanya.

Sehubungan itu, SAPP menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bersatu dan menyokong kerajaan tempatan yang benar-benar berteraskan rakyat Sabah, dan yang sanggup memperjuangkan hak serta aspirasi mereka.

“Dalam Pilihan Raya Negeri yang akan datang, rakyat Sabah mempunyai peluang untuk memilih suara yang benar-benar mewakili Sabah, bukan pelakon politik yang sekadar menukar 'pembungkusan' tetapi terus tunduk kepada pihak luar.

“Sekaranglah masanya untuk kita, rakyat Sabah, bersatu membina sebuah Sabah yang benar-benar menjadi milik kita,” ujar beliau.