SHAH ALAM – "Sekiranya memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, saya tidak berminat untuk menyertai barisan Kabinet."
Demikian penegasan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sambil menyatakan bahawa beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada parti dan agenda reformasi dasar.
“Sekiranya saya dipilih kelak, misi utama saya adalah untuk saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di peringkat cabang, khususnya di 50 kerusi marginal,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Komitmen itu disuarakan oleh Nurul Izzah ketika mengumumkan kesediaannya menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025–2028.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar PKR sentiasa terletak pada cabang dan jentera akar umbi yang telah menjadi nadi perjuangan parti selama lebih dua dekad di seluruh negara.
“Saya amat menghargai pengorbanan semua pimpinan dan anggota di peringkat cabang yang menjadi tulang belakang parti.
“Saya turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang menyatakan sokongan serta pandangan dalam membuat keputusan ini,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), katanya, Keadilan perlu tampil dengan strategi yang lebih tersusun, menyeluruh dan berpaksikan kekuatan kolektif bagi meraih sokongan rakyat.
“PRU bukan boleh dimenangi dengan usaha individu semata-mata. Kita tidak mampu bergerak bersendirian. Kemenangan hanya akan dicapai melalui sinergi antara kekuatan cabang, jentera akar umbi dan kempen yang menyantuni keperluan rakyat,” ujarnya.
Nurul Izzah turut menegaskan kepentingan menyatukan semula gerak kerja antara pimpinan pusat dan cabang agar strategi politik parti tidak bergerak dalam silo.
“Kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah antara pusat dan akar umbi. Kehadiran yang menyantuni rakyat, jentera yang hidup dan berfungsi, inilah yang akan membuka jalan kepada kemenangan,” katanya.
Menurutnya, sudah tiba masanya PKR kembali kepada roh perjuangan asal dengan membawa keadilan kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa atau kepercayaan.
“Inilah saatnya untuk kita mengembalikan ideologi asal parti — membawa keadilan sosial, memperjuangkan keperluan sosioekonomi serta memastikan peluang terbaik untuk semua,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa sama ada terpilih atau tidak, komitmennya terhadap perjuangan PKR tidak akan berubah.
“Saya akan terus berusaha untuk merapatkan saf besar Keadilan dan membantu pimpinan yang dipilih demi merealisasikan impian serta misi bersama.
“Kasih dan taat setia saya sentiasa bersama Keadilan agar kita kekal dekat dan relevan dalam mendepani segala cabaran yang mendatang,” ujarnya.