SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar meluahkan rasa kecewa apabila menjadi sasaran serangan peribadi oleh penyokong parti sendiri, termasuk menyentuh isu peribadi seperti status perkahwinannya.
Menurut beliau, tindakan segelintir penyokong yang menggunakan kata-kata nista dan ejekan peribadi sebagai senjata kempen adalah amat mengecewakan kerana mencemarkan semangat perjuangan yang telah dibina bersama sejak lebih dua dekad lalu.
“Saya secara peribadi berasa terkilan, bukan kerana tohmahan itu semata-mata, tetapi kerana ia datang dari dalam keluarga besar PKR sendiri.
“Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang pimpinan dan sahabat seperjuangan lain dengan biadab, apatah lagi menyentuh isu peribadi mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, perbezaan pandangan dan persaingan dalam parti perlu diraikan secara matang dengan berpegang kepada nilai adab, fakta dan idealisme perjuangan.
“Kita boleh bertembung idea dan berbeza pandangan sepanjang pemilihan ini, tetapi kekallah dengan adab dan hikmah. Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan emosi, hinaan atau gelaran kesat,” katanya lagi.
Calon Timbalan Presiden itu turut menyeru semua anggota PKR untuk memperkukuh semula semangat kekitaan dalam parti serta terus membina persaudaraan politik demi menghadapi cabaran yang lebih besar di peringkat nasional.
“Biduk lalu, kiambang bertaut. Buat semua anggota Keadilan, marilah kita bersama membina semula kekuatan dalaman parti.
“Kita menjadi tali pengikat, semangat, setiakawan dan persaudaraan. Kita disegani kerana menjaga idealisme dan membina jambatan dengan parti-parti komponen agar lebih mudah mewakili rakyat,” ujarnya.