JOHOR BAHRU - Kontroversi yang berlaku ketika pemilihan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini dilihat tidak akan mempengaruhi persiapan dan perjalanan Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hujung bulan ini.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, pihaknya yakin kongres berkenaan akan berjalan lancar dan tenang mengikut perancangan dan tanpa sebarang gangguan.
“Saya tak rasa kontroversi yang timbul akan ganggu perjalanan kongres nanti sebab ini parti yang mempunyai disiplin.
“Setiap parti ada gelora dan itu biasa dalam politik. Kalau tenang sahaja, air tidak akan mengalir,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan rumah pam air di Kampung Belantik, pada Khamis.
Hassan berkata demikian bagi mengulas pendapat yang mengatakan Kongres PKR kali ini berkemunginan terganggu susulan kontroversi yang berlaku ketika pemilihan cabang PKR baru-baru ini yang menyaksikan beberapa nama besar yang tewas pada pemilihan berkenaan.
Malah, beberapa pihak mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), terhadap keputusan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan.
Bagaimanapun, keputusan Pemilihan PKR 2025 bagi semua 220 cabang di seluruh negara itu yang selesai baru-baru ini telah disahkan dan dimuktamadkan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Sementara itu Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, pemilihan Johor menjadi tuan rumah Kongres Nasional PKR pada kali ini dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada parti berkenaan.
“Secara tidak langsung kongres kali ini juga memberikan gambaran bahawa Johor dilihat penting bagi persiapan parti menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.