Perebutan Naib Presiden PKR kian panas, jawatan Timbalan Presiden masih kosong

SHAH ALAM - Seramai lapan ahli telah mencalonkan diri masing-masing secara dalam talian bagi merebut jawatan Naib Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 peringkat pusat.

Menurut sumber setakat jam 6.30 petang tadi, antara individu yang berbuat demikian termasuk penyandang jawatan itu sendiri iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Enam lagi yang turut bersaing ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Turut menyertai saingan ialah ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian dan R Yuneswaran.

Selain lapan individu berkenaan, difahamkan bahawa penyandang jawatan Naib Presiden yang lain turut menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Nama lain yang pernah dilaporkan berminat untuk bertanding bagi jawatan tersebut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Bagaimanapun, sebahagian besar PKR negeri dan cabang telah menzahirkan sokongan secara terbuka kepada Nurul Izzah untuk bertanding sebagai calon Timbalan Presiden.

Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari, bermula jam 12 tengah malam tadi (8 Mei) hingga jam 11.59 malam pada Jumaat.

Namun begitu, pencalonan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden masih kosong dan belum diterima setakat ini.

Jawatan Presiden PKR yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak dicabar, sepertimana yang berlaku dalam pemilihan 2022 lalu.

Namun, sejak beberapa hari lalu, pertandingan bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti dilihat semakin hangat selepas tiga calon dikatakan bakal bersaing.

Sementara itu, seramai 58 ahli dilaporkan telah mencalonkan diri bagi merebut jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR.