Mungkin wujud percaturan singkir pemimpin tertentu - Penganalisis

SHAH ALAM - Tidak mustahil wujud percaturan oleh pihak tertentu yang menjadi punca kepada polemik menjelang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya membabitkan jawatan kanan parti tersebut.

Penganalisis politik, Azizi Safar mendakwa, kemungkinan tersebut tidak boleh dinafikan kerana ia adalah amalan biasa bagi mana-mana parti politik di negara ini antaranya demi tujuan menyingkirkan pemimpin tertentu.

Bagaimanapun tegas beliau, dalam isu pemilihan PKR, gelombang sokongan yang diperoleh Nurul Izzah Anwar sebagai calon timbalan presiden parti dilihat melangkaui isu nepotisme kerana ia melibatkan jawatan yang dipertandingkan, bukan lantikan.

“Dalam pemilihan mana-mana parti pun akan ada gerakan-gerakan oleh kumpulan-kumpulan tertentu ataupun individu-individu tertentu untuk tentukan siapa menang, siapa kalah, siapa dipilih...atau siapa tidak dipilih.

“Tapi, akar umbi dan kepimpinan PKR di peringkat cabang tidak melihat pencalonan atau sokongan kepada Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden PKR menjadi satu isu nepotisme kerana Nurul Izzah seorang pemimpin yang mempunyai pengaruh, pengikut dan penyokongnya tersendiri.

“Kalau Nurul Izzah bertanding dan dipilih oleh ahli PKR, saya tidak melihat ini sebagai amalan nepotisme sebab dia dipilih oleh ahli-ahli PKR, melalui pemilihan demokratik...dan (jika) dia menang, itu tidak boleh dituduh sebagai perlakuan nepotisme dalam kepimpinan PKR,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Azizi berkata, pemilihan timbalan presiden PKR kali ini adalah untuk percaturan kepimpinan pasca Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden dan Nurul Izzah dilihat mempunyai kelebihan untuk tarik sokongan rakyat kepada PKR.

“Jika Nurul Izzah tidak bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan kali ini setelah begitu ramai Ketua-Ketua cabang telah menyatakan sokongan kepada dia, berkemungkinan besar dia tidak lagi akan dapat sokongan serupa sekarang pada masa depan,” katanya.