SHAH ALAM - Tindakan beberapa setiausaha politik Perdana Menteri yang menekankan sokongan kepada pencalonan Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibimbangi menimbulkan tanggapan salah kepada pelbagai pihak.
Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan berkata, perbuatan tersebut seolah-olah mencerminkan pandangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Presiden PKR.
“Ia akan menimbulkan persoalan, benarkah ia suara daripada Perdana Menteri untuk membawa ke hadapan Nurul Izzah.
“Selain itu, adakah benar ketua-ketua cabang PKR ini juga terpaksa menyatakan sokongan kerana presiden mereka yang merupakan bapa kepada Nurul Izzah.
“Jadi, itu yang kena berhati-hati dengan persepsi majoriti akar umbi yang mahukan wajah kepimpinan baharu,” katanya.
Sebelum ini, beberapa setiausaha politik turut menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti tersebut.
Antaranya ialah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Ujar Azmi, meskipun mendapat sokongan, namun faktor Nurul Izzah sebagai anak kepada Presiden PKR perlu diambil kira bagi mengelakkan pihak tertentu mengaitkannya dengan amalan nepotisme.
“Kalau diikutkan sekarang, Nurul Izzah dibawa ke hadapan tetapi kena ingat siapa beliau dan siapa bapanya.
“Sebab itu, tidak elok ditekankan sokongan terhadap Nurul Izzah. Sepatutnya setiausaha politik tidak boleh tekankan (sokongan) sangat,” ujarnya.