Jangan terlalu ghairah calonkan jawatan Timbalan Presiden- Nik Nazmi

PUTRAJAYA - Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan mana-mana pihak agar tidak terlalu ghairah dalam mencadangkan calon jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti.

Beliau berkata, meskipun kewibawaan dan pengalaman bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak dapat dipertikaikan, sebarang pencalonan perlu dibuat secara tertib dan mengambil kira kepentingan keseluruhan parti.

“Saya ingat dari segi kewibawaan dan kebolehan Nurul Izzah, tidak ada siapa boleh mempertikaikan. Perjuangan yang beliau lalui selama ini jelas membuktikan keteguhan prinsip beliau.

“Namun, sebagaimana saya sebutkan, kita perlu fikir secara menyeluruh. Jangan sampai ada pihak yang terlalu ghairah kerana mahu menentang sesuatu kumpulan, lalu melakukan sesuatu yang akhirnya memberi implikasi tidak baik kepada imej parti,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian yang dihoskan oleh Haizir Othman di pejabatnya, di sini pada Rabu.

Menurutnya, semua pencalonan perlu mengambil kira langkah yang terbaik untuk parti, Presiden dan sesiapa dinamakan.

Ujar Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu, PKR sendiri mempunyai rekod panjang dalam memperjuangkan kepimpinan wanita termasuk pernah melahirkan Ketua Pembangkang dan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama.

“Saya rasa bebas untuk sesiapa menyokong Rafizi, Saifuddin atau Nurul Izzah untuk jawatan Timbalan Presiden (kerana) itu adalah hak masing-masing.

“Tetapi jangan sampai ia menjejaskan kestabilan dan imej parti,” katanya.