PRN Sabah: Anifah nyata hasrat tanding DUN Bongawan

KOTA KINABALU – Selepas mengalami kejatuhan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 lalu, Parti Cinta Sabah (PCS) menerusi presidennya, Tan Sri Anifah Aman, bangkit dengan hasrat untuk bertanding pada PRN kali ini di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau mengakui kerap diasak dengan soalan mengenai tarikh sebenar PRN akan diadakan, sambil menyentuh spekulasi hangat di media sosial berkaitan pembahagian kerusi yang akan dipertandingkan.

“Tidak perlu saya ulas formula mana yang tepat kerana fokus saya adalah untuk DUN Bongawan.

“Hasrat untuk bertanding kerusi Bongawan bukan semata-mata mahu mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Daud Yusuf. Saya hormati beliau sebagai rakan, tetapi penduduk Bongawan mahukan pembangunan setaraf sebuah daerah penuh,” tulisnya pada Selasa.

Menurutnya, pembangunan di kawasan berkenaan telah lama dijanjikan dan sepatutnya sudah dinikmati, namun sehingga kini masih belum dirasai.

“Kemudahan asas seperti hospital, balai bomba, jalan perhubungan dan infrastruktur lain masih belum dirancang dan diperjuangkan.

“Masih sunyi dan sepi. Ke mana iltizam politik yang dilaungkan mereka sebelum ini?” soalnya.

Mengulas formula pembahagian kerusi, bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, perlu diingat bahawa PRN bukan medan untuk berebut siapa paling banyak kerusi.

“Tapi yang penting, siapa boleh menang. Keabsahan kerajaan adalah berdasarkan berapa banyak kerusi yang dimenangi.

“Perjuangan PCS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jelas; kami junjung perjuangan bersama untuk kemenangan bersama.

“Fokusnya bukan jumlah calon tetapi yang penting boleh menang kerusi untuk GRS. Semua komponen GRS perlu kekalkan perpaduan demi kestabilan politik dan manfaat untuk negeri serta rakyat.”

Tambah bekas Menteri Luar itu lagi, rakyat harus yakin bahawa GRS adalah gabungan parti tempatan yang kukuh, teguh dan patut dipilih semula untuk meneruskan kemakmuran Sabah.

“Perjalanan masih panjang, tetapi masa depan yang kita impikan hanya akan tercapai jika kita sepakat dan senada untuk kekalkan momentum kerajaan GRS ini,” katanya.

Pada PRN ke-16 yang lalu, semua calon PCS tewas di kesemua 73 kerusi DUN, termasuk kerusi yang ditandingi Anifah di Bongawan.