'Saya akan beri keputusan terbaik demi masa depan parti' - Nurul Izzah

SHAH ALAM – Sebarang keputusan yang akan diambil berhubung pencalonan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan untuk mana-mana individu, tetapi demi usaha membina masa depan parti secara bersama ketika suka dan duka, kata Nurul Izzah Anwar.

Menurut Naib Presiden PKR itu, beliau akan memberikan keputusan terbaik dengan mengimbangi antara kesepakatan, jalinan persahabatan serta perubahan dan reformasi yang bermakna buat semua anggota.

"Setulusnya, saya menghormati dan menghargai pandangan akar umbi untuk saya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

"PKR sedang berada dalam fasa penting. Justeru, segala keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbangkan bukan sahaja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga keperluan membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden bagi penggal 2025–2028 menjadi tumpuan menjelang pemilihan parti yang dijadualkan pada 24 Mei ini.

Penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatannya atas alasan mahu mengelakkan perpecahan dalam parti berkenaan.

Menteri Ekonomi itu dikatakan bakal dicabar oleh bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Namun, setakat ini Saifuddin masih mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.

Sejak Selasa, sekurang-kurangnya 30 pemimpin cabang dan sayap dari Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor menzahirkan sokongan terbuka terhadap Nurul Izzah untuk bertanding merebut jawatan nombor dua dalam PKR itu.