Lima Ketua AMK Melaka sokong Nurul Izzah calon Timbalan Presiden PKR

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Lima daripada enam Ketua Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka menyatakan sokongan cadangan mencalonkan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka ialah Ketua AMK Tangga Batu, Farzana Hayani Mohd Nasir bersama Muhammad Hakimi Mokhtar (Hang Tuah Jaya), K Sivabalan (Alor Gajah), V Thivagar (Jasin) dan Muhammad Khairi Aiman (Masjid Tanah).

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan, cadangan tersebut merupakan satu langkah tepat dalam mengukuhkan kepimpinan parti.

"Berpandukan pengalaman Nurul Izzah yang pernah menjawab Naib Presiden dan jawatan penting parti diyakini mampu memberikan sinergi mengaitkan parti.

"Apatah lagi, jawatan nombor dua itu belum pernah dijawat pimpinan wanita, justeru tokoh berkaliber seperti Nurul Izzah amat layak untuk memegang posisi tersebut," katanya menerusi kenyataan.

Ujar kenyataan itu, sudah tiba masanya semua bersatu hati dalam meletakkan calon tepat bagi jawatan nombor dua parti.

"Justeru, kami menyeru kepada semua ahli parti memberi sokongan penuh kepada saudari Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden," katanya.

Sementara Ketua AMK Kota Melaka, Lee Yen Wei tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

Terdahulu, media melaporkan Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim berkata, dalam suasana politik yang semakin kompleks, Nurul Izzah menjadi sosok yang bukan sahaja berwibawa dan berprinsip, tetapi juga mampu meniupkan semangat reformasi kepada generasi baharu, merentas pelbagai latar yang ada.

Menurutnya, selepas membuat penilaian sebaik-baiknya, tanpa mengurangkan rasa hormat kepada mana-mana pimpinan parti, beliau menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden dalam Pemilihan 2025.