Nurul Izzah ada pakej kepimpinan lengkap - PKR Cabang Gerik

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Gerik menjadi antara cabang terawal di Perak menyokong bekas Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar, bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden sempena pemilihan parti tahun ini.

Ketua Cabang PKR Gerik, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, cadangan itu dikemukakan kerana Nurul Izzah disifatkan mempunyai pakej kepimpinan lengkap yang diperlukan PKR dalam menghadapi fasa pembinaan semula struktur dan hala tuju parti.

Menurutnya, Nurul Izzah bukan sahaja membawa idealisme perjuangan sejak era Reformasi, tetapi turut memiliki pengalaman luas dalam bidang dasar, aktivisme dan pentadbiran.

“Beliau bukan sekadar lambang sejarah, tetapi manifestasi kepada prinsip perjuangan yang kekal utuh meskipun diuji oleh kekuasaan dan realiti politik.

“Sebagai bekas Ahli Parlimen, Naib Presiden parti, penggerak reformasi institusi serta aktivis hak asasi manusia, beliau membawa satu pakej kepimpinan yang menggabungkan kearifan dasar, empati rakyat dan keberanian moral,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Ahmad Safwan berkata, pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025–2028 bukan kerana keturunan, sebaliknya atas keperluan strategik dan prinsip demi memperkukuh asas perjuangan parti.

Katanya, PKR memerlukan tokoh yang mampu menyambung semangat generasi Reformasi dengan cabaran politik semasa yang semakin kompleks.

“Dalam zaman di mana politik hilang nilainya, kita perlukan suara yang jujur, berani dan berfikir jauh ke hadapan.

“Beliau membawa semua elemen tersebut, dan lebih penting, beliau membawa harapan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kepimpinan masa depan PKR perlu dipimpin individu yang memiliki kefahaman sejarah, ketajaman dasar dan keberanian moral untuk terus kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat.

Sebelum ini, PKR Cabang Tapah merupakan cabang terawal di Perak yang mengemukakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden parti yang kini disandang Datuk Seri Rafizi Ramli.