[DIKEMAS KINI] PERTEMBUNGAN merebut jawatan nombor dua dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini memperlihatkan senario luar biasa apabila sesama reformis saling mencabar.
Nurul Izzah Anwar yang sinonim dengan gelaran Puteri Reformasi, secara terbuka menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR sebelum ini.
Bagaimanapun, perkembangan politik dalaman PKR terkini mungkin menyaksikan Nurul Izzah berubah fikiran dan mempertimbangkan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
Sekiranya senario itu menjadi kenyataan, Nurul Izzah bakal berdepan cabaran sekurang-kurangnya dua figura berpengaruh dalam parti, iaitu penyandang jawatan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Berdasarkan situasi semasa, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tampak lebih ke hadapan dalam perlumbaan merebut jawatan nombor dua PKR itu berbanding dua pemimpin era Reformasi yang dijangka mencabarnya.
Terkini, setakat jam 12 malam Selasa, Nurul Izzah menerima sokongan besar daripada 29 ketua cabang khususnya di Selangor, Melaka dan Perak serta tiga sokongan daripada Wanita PKR Pulau Pinang, Wanita PKR Selangor dan Wanita PKR Johor.
Saifuddin Nasution pula meraih empat sokongan, masing-masing daripada Ketua Cabang Titiwangsa, Timbalan Ketua Cabang Beaufort, Timbalan Ketua Wanita Cabang Semporna dan Ketua Cabang Tanjung Karang.
Sementara itu, jumlah sokongan yang diterima Rafizi Ramli bagaimanapun tidak diketahui setakat ini.
Kali ini pula, perjuangan tiga pemimpin era Reformasi 98 itu bertukar menjadi perebutan jawatan sesama sendiri, seolah-olah ‘kawan melawan kawan’.
Ketiga-tiga nama ini pernah berada dalam satu pasukan dalam perjuangan reformasi sejak era awal penubuhan parti.
Namun, landskap hari ini menunjukkan pertembungan sesama sahabat lama yang pernah bersama mendepani gelombang politik pasca era Reformasi 1998.
Mengundang persoalan dalam keadaan PKR kini sedang memimpin Putrajaya, mampukah parti itu mampu menangani perpecahan jika ada pemimpin utama yang tewas berkecil hati atau merajuk.
Menilai peluang Nurul Izzah, populariti beliau dilihat meningkat bukan sahaja kerana rekod perjuangannya, tetapi juga statusnya sebagai anak kepada presiden parti dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kekuatan sokongan ini menunjukkan Nurul Izzah bukan calon tempelan, tetapi dilihat mampu memberi cabaran serius kepada penyandang dan bekas penyandang jawatan tersebut.
Namun, adakah faktor keturunan dan sokongan akar umbi sudah cukup untuk menyaingi pengalaman pentadbiran Rafizi yang lebih konsisten berada dalam kepimpinan parti sejak 2018?
Rafizi pula dikenali sebagai tokoh pencongak strategi parti dan teknokrat yang berjaya mengemudi gerak kerja parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Saifuddin pula berpengalaman luas dalam kerajaan dan pernah menjadi antara tokoh paling lantang mempertahankan dasar parti di Parlimen.
Persoalannya kini, adakah Nurul Izzah benar-benar bersedia dari segi kepimpinan, ketegasan dan ketahanan politik, atau sekadar dilihat menumpang nama besar ayahnya?
Sementara sesetengah pihak melihat pencalonan beliau sebagai satu impak segar dalam barisan kepimpinan, tidak kurang yang bimbang ia membina semula isu kronisme dalam parti.
Pertembungan ini bukan sekadar soal pengaruh peribadi, tetapi lebih penting ialah visi siapa yang lebih meyakinkan dalam menyatukan dan memperkukuh jentera PKR menjelang PRU akan datang.
Dalam konteks ini, ahli parti dan rakyat memerhati sejauh mana calon-calon ini mampu menawarkan gagasan yang segar, bukan sekadar bergantung pada nama dan nostalgia reformasi.
Parti itu kini berada di satu persimpangan penting, sama ada memperkukuh solidariti lama atau membuka lembaran baru bersama wajah-wajah baharu yang progresif.
Justeru, apa jua keputusan dalam pemilihan ini bakal menjadi isyarat penting kepada hala tuju PKR, sama ada terus segar dengan idealisme atau terjerat dalam dinamika kuasa dalaman.
Akhirnya, ketika semua pihak sedang mengatur strategi masing-masing, satu persoalan besar kekal menghantui, siapakah yang bakal menang, dan siapakah yang bakal, menangis?
INFO SOKONGAN CABANG DAN SAYAP PKR TERHADAP PENCALONAN BAGI JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN
Jumlah terkini cabang dan sayap parti yang menyokong Puteri Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menjadi Timbalan Presidennya.
1. Cabang Melaka
Ketua Cabang Hang Tuah Jaya
Ketua Cabang Alor Gajah
Ketua Cabang Tangga Batu
Ketua Cabang Jasin
Ketua Cabang Kota Melaka
2. Cabang Selangor
Ketua Cabang Kuala Selangor
Ketua Cabang Hulu Langat
Ketua Cabang Gombak
Ketua Cabang Sepang
Ketua Cabang Petaling Jaya
Ketua Cabang Shah Alam
Ketua Cabang Sabak Bernam
Ketua Cabang Sungai Besar
Ketua Cabang Hulu Selangor
Ketua Cabang Ampang
Ketua Cabang Bangi
Ketua Cabang Puchong
Ketua Cabang Subang
Ketua Cabang Damansara
Ketua Cabang Sungai Buloh
Ketua Cabang Kapar
Ketua Cabang Klang
Ketua Cabang Kota Raja
Ketua Cabang Kuala Langat
Wanita PKR Selangor
3. Cabang Negeri Sembilan
Ketua Cabang Seremban
4. Cabang Perak
Ketua Cabang Batu Gajah
Ketua Cabang Tapah
Ketua Cabang Gerik
5. Cabang Johor
Ketua Cabang Pulai
Wanita PKR Johor
6. Cabang Pulau Pinang
Wanita PKR Pulau Pinang
Jumlah terkini cabang-cabang yg menyokong Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail jadi Timbalan Presiden PKR.
1. Cabang Kuala Lumpur
Ketua Cabang Titiwangsa
2. Cabang Sabah
Timbalan Ketua Cabang Beaufort
Timbalan Ketua Wanita Cabang Semporna
3. Cabang Selangor
Ketua Cabang Tanjung Karang
Jumlah terkini cabang-cabang yg menyokong Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli jadi Timbalan Presiden PKR.
Tidak diketahui