Pilihan raya Singapura: Kenyataan dua pemimpin Pas malukan Malaysia

SHAH ALAM – Tindakan dua pemimpin Pas yang mencetuskan kontroversi dengan kenyataan berhubung Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura berpotensi mencalarkan hubungan diplomatik dan memalukan Malaysia.

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda berkata, hubungan baik antara Malaysia dan Singapura perlu dipelihara dengan penuh rasa hormat, adab diplomasi serta tanggungjawab bersama.

Menurutnya, sebarang bentuk kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan mempengaruhi politik domestik Singapura adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang implikasi diplomatik yang tidak perlu.

"Secara prinsipnya, memberikan komen terhadap perkembangan politik negara lain bukanlah satu kesalahan.

"Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila kenyataan tersebut cuba mempengaruhi pola pengundian rakyat Singapura berdasarkan kaum dan agama. Ini bertentangan dengan nilai demokrasi inklusif yang sepatutnya dihormati.

"Oleh itu, Pemuda Amanah mengingatkan semua pihak, khususnya Pas, bahawa keprihatinan terhadap sesuatu komuniti di luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk campur tangan dalam urusan politik negara tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, didapati memuat naik hantaran di Facebook yang memberi komen dan didakwa cuba campur tangan dalam GE2025.

Perkara tersebut disahkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.

Portal Harakah Daily pernah menerbitkan dua artikel pada 22 dan 23 April lalu mengenai pandangan Iskandar berkenaan masyarakat Melayu di Singapura dan PRU2025.

Susulan itu, MHA dan ELD telah mengeluarkan arahan untuk menyekat hantaran tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).

Tambah Mohd Hasbie, tanggungjawab sebagai pemimpin menuntut kebijaksanaan dalam menimbang sensitiviti politik dan undang-undang negara jiran.

"Sehubungan itu, Pemuda Amanah menyeru agar pemimpin Pas sentiasa menjaga tata susila dalam berurusan dengan hal ehwal antarabangsa serta mengutamakan keharmonian serantau berbanding kepentingan politik sempit.

"Malaysia mesti kekal sebagai rakan yang dipercayai, dihormati dan disegani di rantau ini," ujarnya.