Armizan bagi 'hint' menjelang PRN Sabah

PAPAR – Formula kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan tidak semestinya terpakai di Sabah memandangkan landskap politik negeri ini mempunyai keunikan tersendiri.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembentukan kerjasama di peringkat negeri perlu mengambil kira realiti politik semasa, bukannya meniru sepenuhnya model di Semenanjung.

"Tidak boleh dipaksa bahawa kerjasama perlu menepati sepenuhnya model kerjasama di Kerajaan Persekutuan kerana Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Disember 2022 hanya melibatkan komitmen membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Tidak ada dalam MoU itu yang mewajibkan model sama diikuti di peringkat negeri. Itu prinsip pertama yang kita perlu faham. Ini pilihan raya negeri, dan setiap negeri mempunyai keunikan tersendiri. Lihat sahaja di Johor dan Sarawak, tiada sesiapa mempertikaikan komposisi politik di sana," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Majestic Ballroom di 10 Star Cinemas, Parklane City Benoni, di sini, pada Isnin.

Sebelum itu, Armizan diminta mengulas pandangan sesetengah pemimpin politik bahawa mustahil untuk BN dan PH dipisahkan di Sabah kerana kedua-dua gabungan itu kini bekerjasama di peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Papar itu menegaskan bahawa teras kepada pembentukan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah kesediaan dan keserasian antara pihak-pihak terlibat.

"Meletakkan faktor dan syarat lain sebagai keutamaan tidak akan memastikan kerjasama itu berjaya dan stabil. Ini pilihan raya memilih kerajaan negeri, bukannya kerajaan Persekutuan," katanya.

Tambah beliau lagi, landskap politik Sabah selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan juga mengalami perubahan, termasuk pembentukan kerajaan negeri melalui kerjasama antara GRS-PH Plus.

"Kita kena ingat, kerajaan negeri sekarang adalah hasil kerjasama selepas penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, susulan usaha pihak tertentu yang cuba 'menebuk atap'. Inilah komposisi kerajaan perpaduan di Sabah.

"Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri) pun baru-baru ini menyatakan bahawa sebarang perbincangan untuk kerjasama perlu dimulakan dengan parti-parti yang membentuk kerajaan negeri hari ini, iaitu GRS-PH Plus. Saya setuju 100 peratus," katanya.

Sehubungan itu, Armizan mengingatkan agar perbincangan berkaitan pembentukan kerjasama tidak berpanjangan sehingga mengabaikan suara rakyat.

"Bagi saya, diskusi tentang kerjasama atau tidak ini sudah terlalu berlarutan, kita jangan mendahuli rakyat. Bagi saya mudah sahaja, asas parameternya adalah kalau mahu bekerjasama memang mesti ada persefahaman bersama.

"Jadi kalau ada pihak yang tidak mahu bekerjasama, tiada masalah, kita bergasaklah (berlawan), sebab sekarang pun tiap hari digasak (dihentam) sudah dua tahun GRS-PH Plus digasak," katanya.