PN tak tunggang isu babi, jadi pembangkang konstruktif demi rakyat - Idris

TAPAH - Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa isu penternakan babi yang dibangkitkan mereka bukanlah untuk meraih keuntungan politik dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata sebaliknya gabungan itu tampil mengutarakan isu berkenaan sebagai tanggungjawab pembangkang yang konstruktif demi kepentingan rakyat kerana ia melibatkan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

"Saya bangkit isu ini daripada awal lagi. Jadi tolong jangan kata kami tunggang isu babi. Tolong sikit.

"Ini soal kepentingan awam. Tugas kami sebagai pembangkang yang konstruktif dan membina bukan untuk kepentingan peribadi tetapi demi rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PN di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama yang juga bekas Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin.

Menurut Idris, isu pencemaran babi sudah lama dibangkitkan oleh penduduk setempat, namun tindakan susulan daripada pihak berwajib dilihat tidak menyeluruh dan kurang berkesan.

"Apabila ADUN kita bangkitkan dalam Sidang DUN, bila kita buat sidang media di sini, turun ke medan, barulah ada sedikit respon dan isu ini akhirnya mendapat perhatian nasional.

"Saya tegaskan, bukan kita larang orang bukan Islam makan babi. Kita bangkit soal pencemaran, soal kesihatan. Ini isu bersama dan sepatutnya kita berganding bahu selesaikan tetapi bila pihak kerajaan tidak bersuara, kami terpaksa ambil peranan,” katanya.

Dalam sidang media sama, Idris yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning mengulangi gesaan kepada kerajaan negeri agar memberi penjelasan penuh berhubung insiden paip pecah di Taman Bunga Raya, Tapah pada 4 Februari lepas sehingga menyebabkan lebih 50,000 akaun pengguna terputus bekalan air selama hampir tiga minggu.

Katanya, kejadian itu telah disahkan berpunca daripada pencerobohan pemaju ke atas tanah rizab milik Lembaga Air Perak (LAP), namun hingga kini tiada laporan lengkap dikeluarkan dan tiada tindakan diambil terhadap pemaju atau kontraktor terlibat.

"Rakyat berhak tahu. Ini adalah satu perkara yang sangat serius dan menyerupai insiden Putra Heights. Bezanya di sana melibatkan paip gas dan di sini pula paip air.