BIDOR - Perikatan Nasional (PN) mendakwa aliran sungai di Kampung Poh di sini yang mengalir hingga ke kawasan Ayer Kuning tercemar akibat pembuangan sisa babi daripada ladang berdekatan.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, hasil tinjauan bersama penduduk sekitar Ayer Kuning mendapati wujud pembuangan najis babi yang tidak dirawat dan dibuang terus ke dalam sungai hingga menyebabkan berlaku pencemaran air serta bau.
Menurutnya, meskipun Kampung Poh berada di sempadan Ayer Kuning, aliran sungai mengalir masuk ke kawasan terbabit yang menjadi sumber air kedua dan lokasi rekreasi penduduk setempat.
“Lebih-lebih lagi ketika Tapah dilanda masalah terputus bekalan air selama dua hingga tiga minggu, sungai ini menjadi sumber utama air penduduk sekitar.
“Semalam, Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan kata ladang babi di Kampung Tanjung Keramat terletak 2.5 kilometer (km) daripada penempatan serta memenuhi syarat lesen iaitu minimum 200 meter.
“Namun realitinya, ladang babi berdekatan Kampung Poh ini terletak 140 meter daripada penempatan, malah kolam pengolahan efluen terletak di sebelah rumah penduduk,” dakwanya ketika sidang media eksklusif PN di sini pada Rabu.
**media[3096910]**
Hadir sama, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri.
Pemimpin parti berkenaan turut mengadakan tinjauan lapangan selama dua jam bersama pengamal media bagi melihat sendiri lokasi yang dikatakan tercemar akibat sisa babi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berpandangan, timbul persoalan sama ada pembinaan ladang babi termasuk kandang, sistem saliran dan infrastruktur mematuhi Garis Panduan Amalan Perladangan Babi Yang Baik (GAHP).
**media[3096911]**
Bukan itu sahaja, katanya, status ladang tersebut sama ada mematuhi Garis Panduan Kawalan Pencemaran Aktiviti Penternakan Babi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada November 2014 juga diragui.
Jelas Nurul Islam lagi, pengolahan ladang yang berada bersebelahan dengan rumah penduduk didapati melepaskan efluen secara berterusan ke dalam Sungai Bidor.
“Bagi mengesahkan pencemaran berlaku, kami telah mengambil sampel air dan hantar ke makmal swasta untuk tujuan pengesahan.
“Ujian dibuat adalah Keperluan Oksigen Kimia Hayat (BOD), Keperluan Oksigen Kimia (COD) dan ‘total coliform’. Disahkan bahawa efluen yang dilepaskan tercemar serta tidak dirawat.
“Ini bercanggah dengan apa yang Exco dan Kerajaan Perak sebut dalam sidang DUN. Adakah mereka benar-benar serius menangani isu pencemaran ladang babi yang sekian lama menghantui rakyat DUN Ayer Kuning?” soal beliau.
Mengulas lanjut, Nurul Islam berkata, PN akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tapah pada jam 3 petang ini termasuk menggesa campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.