JOHOR BAHRU - Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru pada Ahad lalu akan mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Akmal Nasrullah menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu turut membangkitkan isu yang timbul sepanjang proses tersebut.
"Cabang Johor Bahru tidak terkecuali dari kejadian fenomena ‘badan tanpa kepala’. Majoriti Ahli Jawatankuasa (AJK) cabang yang menang iaitu 10 orang adalah daripada pasukan kami.
"Kejadian ajaib juga berlaku untuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) iaitu hanya 'kepala' iaitu ketua AMK yang 'dipenggal' sedangkan timbalan hingga semua AJK menang manakala bagi sayap wanita pula jawatan ketua dan timbalan diganggu sedangkan bagi naib dan AJK, pasukan Akmal Nasir menang," katanya.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu juga mempertahankan jumlah undi yang diterimanya selaku calon Ketua Cabang Johor Bahru pada pemilihan tersebut.
"Seperti yang pernah saya kongsikan, angka-angka ini bukan sekadar anggota yang mengundi berdasarkan 'Get Out The Voters’ (GOTV) malah bukti pengundian dan sokongan telah direkodkan secara jelas. Angka ini disokong oleh Borang 14 yang telah diperakukan oleh Ketua Tempat Mengundi, senarai pengundi berserta tandatangan pengakuan dan bukti bergambar.
"Oleh itu, seorang pasukan saya yang mengetuai operasi pada hari pengundian telah membuat akuan bersumpah bagi mempertahankan jumlah undi sekurang-kurangnya 949 undi yang diterima saya," ujarnya lagi.
Ahad lalu, Akmal Nasrullah dilaporkan tewas kepada Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Akmal hanya memperoleh 587 undi sekali gus kecundang di tangan Mohamad Taufiq yang meraih 709 undi.
Namun keputusan tersebut mengejutkan ramai penyokong Akmal Nasrullah kerana sebelum itu dalam hantaran melalui Facebooknya, beliau memberi bayangan mendahului jumlah undi.
Dalam hantaran berkenaan, Akmal Nasrullah turut berkongsi satu infografik yang direkodkan sebagai keputusan tidak rasmi.