GRS jadi sasaran serangan politik di media sosial
23 April 2025
KOTA KINABALU - Setiap kali menjelang pilihan raya atau ketika suhu politik memuncak, media sosial pasti menjadi gelanggang utama bagi 'perang saraf'.
Di Sabah, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai antara pemain utama yang sering menjadi sasaran serangan.
Ada yang berbentuk kritikan membina, namun tidak kurang juga yang bertujuan menjatuhkan imej melalui penyebaran maklumat yang diragui kesahihannya.
Situasi ini dapat dilihat menerusi sebanyak 35 laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan fitnah terhadap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan pimpinannya, yang kini berdepan serangan berterusan di media sosial.
Terbaharu, tular satu rakaman video yang mengandungi suara menyerupai Ketua Menteri, Hajiji sejak beberapa hari lalu.
Dalam video tersebut, kononnya Hajiji mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dalam skandal rasuah mineral, selagi GRS terus bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Mengulas mengenai serangan politik di media sosial, Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun yang berpengalaman luas dalam arena politik, menyifatkan perkara itu sebagai lumrah.
Namun, beliau percaya pendekatan 'turun padang' mampu mengurangkan 'suhu politik' dengan memberi penerangan yang lebih telus kepada rakyat di peringkat akar umbi.
"Terpulang kepada kita semua untuk memberikan penerangan dan menyampaikan kepada rakyat apa yang kerajaan telah lakukan. Kalau kita dapat menyampaikan kepada rakyat dengan baik dan jelas, rakyat dapat menerima.
"Daripada pengalaman saya, apabila saya turun padang saya bercakap dengan rakyat, saya nyatakan dengan jelas apa yang berlaku dan mereka dapat menerima dan melihat betul-betul apa yang dibuat oleh Ketua Menteri adalah yang terbaik," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas bekas Ahli Parlimen Beaufort dan bekas ADUN Klias itu, walaupun masih mengamalkan kaedah konvensional, jenteranya turut digalakkan untuk memanfaatkan platform digital dalam menyampaikan maklumat.
"Penggunaan aplikasi media sosial juga dilaksanakan kerana kita tahu terdapat pengundi muda yang lebih cenderung berada di platform tersebut.
"Jadi kita memang mengarahkan jentera melakukan penjelasan apa yang dilaksanakan kerajaan GRS sejak empat tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, aktivis politik negeri ini, Datuk Zulkarnain Mahdar, menyifatkan situasi tersebut sebagai satu serangan bertubi-tubi daripada pihak pembangkang, sama ada menerusi media sosial mahupun dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
"Bagi saya ini adalah cara politik kotor, dengan menggunakan fitnah di media sosial untuk meyakinkan rakyat Sabah supaya menolak kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) ini.
"Saya tidak melihat cara ini boleh menarik perhatian pengundi kalau inilah yang mereka jangkakan kerana rakyat Sabah bijak untuk menilai mana yang baik dan buruk," katanya.
Zulkarnain menegaskan bahawa sebab itulah beliau dan beberapa ahli Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) telah membuat laporan polis sejak Februari lalu mengenai fitnah yang disebarkan di media sosial.
"Laporan polis ini supaya pihak berkuasa membuat siasatan terhadap fitnah yang ditaburkan terhadap Ketua Menteri dan kerajaan pimpinannya.
"Jadi saya harap fitnah ini dapat ditangkis untuk kita betulkan persepsi di media sosial," katanya.