TAPAH - Pengundi bukan Melayu mula memberi perhatian terhadap pendekatan serta keikhlasan calon yang diketengahkan oleh Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata, perkembangan positif itu diterima daripada maklum balas jentera yang turun berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning ini.
"Perkembangan (pengundi bukan Melayu) agak berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kita lihat kawasan-kawasan yang dahulunya agak negatif, kini nampak positif setiap kali pasukan kempen dan calon turun ke kawasan.
"Ini menunjukkan pendekatan kita diterima," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media PN di sini pada Selasa.
Hadir sama, calon PN PRK DUN Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.
**media[3095338]**
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, pengundi bukan Melayu semakin prihatin terhadap soal integriti dan moral pemimpin, terutama yang gagal menunaikan janji.
Katanya, mereka sebelum ini pernah meletakkan harapan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), namun kekecewaan terhadap prestasi lalu membuka ruang untuk menilai alternatif yang lebih diyakini seperti ditawarkan PN.
"Mereka tak boleh terima pemimpin yang cakap tak serupa bikin.
"Dulu janji turun Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) barang turun. Sekarang turun Najib, barang naik. GST (cukai barang dan perkhidmatan) tak ada, tetapi sekarang cukai macam-macam.
"Orang Cina ini berniaga, kerja sendiri – mereka nilai pemimpin yang ada prinsip dan integriti," katanya.
Dalam perkembangan sama, Idris berkata, kehadiran wakil rakyat daripada pembangkang tidak sepatutnya dipersoalkan dari segi keupayaan untuk membantu rakyat.
Menurutnya, peranan utama mereka sepatutnya dipandang sebagai pemudah cara yang aktif turun padang menyelesaikan masalah rakyat.
"Ramai tanya, kalau pembangkang boleh buat apa? Sebenarnya, wakil rakyat ini pemudah cara. Kita bukan kerajaan, tetapi kita bantu salur aduan, kita turun ke kampung, ke surau, ke kedai kopi. Kita jadi jambatan antara rakyat dan pegawai kerajaan," jelasnya.
Tambah beliau, isu pembangunan juga sering dimanipulasi dengan retorik politik, sedangkan peruntukan pembangunan menggunakan wang kerajaan, bukan dana parti politik.
"Saya cabar mereka tunjuk satu inci jalan yang dibuat dengan duit UMNO, DAP atau PKR (Parti Keadilan Rakyat). Semua guna duit kerajaan. Pas di Terengganu pun tak pernah kata itu jalan duit Pas. Jadi jangan politikkan soal pembangunan," katanya.
Terdahulu, Abd Muhaimin mengumumkan lima tawaran utama yang dikenali T.E.K.A.D sebagai komitmen beliau menjadi wakil rakyat dalam PRK DUN Ayer Kuning.