KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Pahang mendakwa hanya menerima peruntukan minimum daripada kerajaan negeri, termasuk RM5,000 sempena bulan Ramadan.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu berkata, jumlah peruntukan untuk projek pembangunan kecil yang diberikan kepada ADUN pembangkang hanyalah sebanyak RM60,000, meningkat sedikit daripada RM30,000 sebelumnya.
Jelasnya, namun, peruntukan itu tidak disalurkan terus ke pusat khidmat wakil rakyat, sebaliknya diuruskan oleh Pejabat Daerah.
“Yang diperuntukkan kepada ADUN pembangkang hanyalah RM60,000, itu pun bukan diberi terus kepada pusat khidmat tetapi kepada Pejabat Daerah yang menguruskan.
"Selain itu, kami hanya terima RM5,000 pada bulan Ramadan. Itu sahaja setakat ini,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan kerajaan negeri telah menaikkan peruntukan kepada ADUN pembangkang daripada RM30,000 kepada RM60,000 sebagai langkah memperkukuh perkhidmatan wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Mengulas lanjut, ADUN Beserah itu mempersoalkan ketelusan Kerajaan Pahang dalam mengagihkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Katanya, perkara itu telah dibangkitkan dalam sidang DUN, namun tidak mendapat maklum balas sewajarnya daripada Menteri Besar.
“Kita minta Menteri Besar berlaku adil dan umumkan secara terbuka jumlah sebenar peruntukan yang diterima ADUN kerajaan, supaya rakyat boleh menilai dan membuat perbandingan,” jelas beliau lagi.
Selain itu, Andansura turut menuntut penjelasan berhubung peruntukan yang diberikan kepada penyelaras DUN lantikan kerajaan bagi kawasan yang dimenangi pembangkang.
"Rakyat perlu tahu jumlah serta tujuan peruntukan itu bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan salah faham," katanya.