IPOH - Kemenangan ramai calon muda termasuk bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat cabang dilihat mampu menyuntik nafas baharu kepada parti itu khususnya di Perak.
Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, kepimpinan cabang kini diterajui barisan muda yang lebih dinamik dan pernah bergiat aktif dalam AMK, sekali gus mencerminkan kejayaan proses pengkaderan parti sejak lebih 15 tahun lalu.
“Kita lihat ramai ketua cabang yang baharu terdiri daripada bekas AMK antaranya di Batu Gajah, Gopeng, Tanjung Malim, Lenggong, Ipoh Timur, Padang Rengas, Bukit Gantang dan Parit Buntar.
"Ini membuktikan pelaburan dalam melatih generasi pelapis kini membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Mohd Azlan berkata, senario tersebut dilihat selari dengan kepimpinan negeri diterajui Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri yang merupakan orang muda dan turut memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Kuala Kangsar.
Tambahnya, dengan dominasi generasi muda, PKR Perak lebih bersedia melaksanakan perancangan parti dan memperkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Tiada isu dari segi kerjasama dengan PH-BN, kita akan terus berkolaborasi rapat seperti sebelum ini.
"Fokus kita kini adalah untuk menyusun semula organisasi di peringkat cabang agar lebih tersusun dan berfungsi dengan baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menekankan kepentingan setiap cabang mengadakan mesyuarat bulanan seperti diarahkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walau sesibuk mana pun, tanggungjawab organisasi mesti dilaksanakan. Ada cabang yang telah terima surat amaran kerana gagal mengadakan mesyuarat.
"Jadi selepas pemilihan ini, kita akan pastikan setiap cabang lebih tersusun dan bergerak ke hadapan,” katanya yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua PKR Cabang Kampar.
Sementara itu, menyentuh isu pemilihan di peringkat Pusat, Mohd Azlan tidak menafikan keputusan peringkat cabang akan mempengaruhi hala tuju kepimpinan Pusat memandangkan perwakilan ke kongres dipilih berdasarkan keputusan tersebut.
"Namun, senarai perwakilan ini masih berdasarkan mesyuarat agung sebelum ini yang dipengerusikan ketua cabang lama, walaupun mereka tewas,” katanya.
Beliau berkata, formula perwakilan yang ditetapkan Ibu Pejabat PKR dilihat seimbang, memberi ruang kepada kedua-dua pihak sama ada yang menang atau tewas untuk menghantar perwakilan ke kongres.