Saarani: UMNO masih bertaring, masih jadi kerajaan walau tanpa Pas

TAPAH – Dakwaan bahawa UMNO kini lemah selepas perpisahan dengan Pas tidak mencerminkan realiti politik semasa, kata Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut beliau, walaupun UMNO tidak lagi bersama Pas, parti itu masih menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

"UMNO bukan sahaja masih dalam kerajaan, malah memegang kedudukan penting termasuk Timbalan Perdana Menteri, menteri kanan serta beberapa timbalan menteri.

“Di Perak, kita menang sembilan kerusi dan masih menjadi kerajaan. Saya kekal sebagai Menteri Besar, kita ada Speaker dan tiga orang Exco,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sejati Madani Impian Jadi Realiti Daerah Batang Padang di Dewan Orang Ramai Kampung Kenangan, Bidor pada Ahad.

Mengulas lanjut, Saarani menegaskan bahawa UMNO tidak hilang kekuatan seperti yang didakwa, malah masih memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara.

"Kalau benar kita lemah, sudah tentu kita terpinggir daripada pentadbiran. Tapi sebaliknya berlaku, kita berpisah (dengan Pas), tapi terus jadi kerajaan.

“Jadi, di mana hilangnya taring yang dimaksudkan itu? Cakap sedap mulut sahajalah,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini mendakwa UMNO semakin hilang taring sejak berpisah daripada kerjasama dengan Pas.

Abdul Hadi juga merujuk kepada kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.