Kerjasama UMNO–PH Sabah: Ini bukan jenaka, tapi gerak strategi politik bijak

KOTA KINABALU - Kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerjasama UMNO Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) disifatkan sebagai gerak strategi politik bijak.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kenyataan tersebut merupakan pendekatan yang terancang untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik dan menguasai kembali naratif media menjelang PRN17.

"Kenyataan terbaru itu telah mencetuskan pelbagai reaksi. Ada pihak termasuk dari dalam UMNO sendiri tampil menjelaskan bahawa tiada keputusan rasmi dibuat, manakala segelintir pula memilih untuk memperlekeh atau menjadikannya bahan jenaka.

"Dari sudut komunikasi politik, apa yang dilakukan beliau ialah penggunaan strategi persepsi politik pendekatan yang terancang untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik, dan menguasai kembali naratif media menjelang pilihan raya penting," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Ahli Parlimen Libaran lagi, dengan membuka wacana mengenai keterbukaan terhadap kerjasama khususnya dengan sebuah gabungan yang menguasai kerajaan Persekutuan, UMNO Sabah sedang menghantar mesej bahawa parti ini masih relevan, fleksibel, dan strategik dalam pendekatan politiknya.

"Ini bukan kenyataan rambang. Ini mesej yang dikira dengan teliti.

"Dalam dunia sains politik, ini juga dikenali sebagai agenda tetapan iaitu menukar tumpuan media dan rakyat daripada isu dalaman parti kepada kemungkinan kerjasama masa depan yang membawa harapan dan kestabilan.

"Ia membolehkan UMNO Sabah menguasai kitaran media, menyuntik semula semangat jentera parti dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negeri dan nasional," katanya.

Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu turut berkata, perlu difahami bahawa ungkapan seperti 'pintu rundingan sentiasa terbuka' bukan satu bentuk komitmen rasmi.

"Ia adalah alat komunikasi strategik untuk menilai reaksi akar umbi, membuka ruang rundingan mdan mencipta kelebihan politik dalam rundingan yang akan datang.

"Soal sama ada kerjasama ini akan berlaku atau tidak adalah perkara kedua. Yang penting sekarang ialah UMNO Sabah kembali berada dalam radar politik nasional dalam perbualan media, perhatian rakyat dan pertimbangan parti-parti lain.

"Kepada mereka yang memilih untuk memperlekeh strategi ini, ketahuilah bahawa dalam politik hari ini, siapa yang menguasai persepsi, dia yang memacu momentum," katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa politik bukan tentang tunggu lampu hijau dan pemimpin sebenar ialah mereka yang berani mencipta jalan baharu.

"Hari ini, UMNO Sabah sedang merintis laluan itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar," katanya.