Bersatu Hulu Langat desak Anwar buka 'kotak bukti' rasuah era Tun M

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya membuka 'kotak bukti' yang didakwa mengandungi bukti salah laku dan penyelewengan kewangan ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangannya, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, desakan itu selaras dengan tindakan Dr Mahathir yang membuka Kapsul Masa Wawasan 2020 pada Ahad lalu, hampir 30 tahun selepas ia ditanam.

“Semalam, Dr Mahathir membuka satu daripada lima kapsul masa yang ditanamnya. Rakyat pula menanti agar Anwar membuka satu daripada enam kotak bukti yang sering disebutkan beliau sejak sekian lama.

“Setelah dua tahun empat bulan memegang jawatan Perdana Menteri, rakyat menuntut kebenaran dan keadilan, terutama jika benar dakwaan berbilion ringgit wang rakyat dibazirkan untuk mengkayakan kroni dan ahli keluarga Dr Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Shafiq mencadangkan agar salah satu kotak itu dibuka sempena bulan Syawal sebagai simbol ketelusan pentadbiran.

“Dunia sedang memerhatikan kita. Jika benar ada bukti seperti yang pernah didakwa, sudah sampai masanya ia didedahkan,” ujarnya.

Untuk rekod, pada Ahad, Dr Mahathir telah membuka Kapsul Masa Wawasan 2020 yang ditanam pada 1 Oktober 1996 di Menara Kuala Lumpur, ketika Anwar masih menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menurut Shafiq, kapsul masa dan kotak bukti rasuah itu menjadi dua perkara yang masih kekal misteri sehingga kini.

“Kedua-duanya, kapsul masa dan kotak bukti adalah simbol era tersebut. Sudah tiba masa rakyat tahu kandungannya,” katanya.