Pengerusi PKR Perlis menang Ketua Cabang Kangar, tewaskan Ketua Pembangkang DUN

KANGAR - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis, Noor Amin Ahmad diumumkan sebagai pemenang jawatan Ketua Cabang Keadilan Kangar dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.

Bekas Ahli Parlimen Kangar (2018-2022) itu memperoleh 1,295 undi, menewaskan pencabarnya, Gan Ay Ling yang merupakan Ketua Pembangkang DUN Perlis dengan meraih 1,059 undi.

Daripada 3,269 ahli yang layak mengundi, sebanyak 2,356 kertas undi telah dikeluarkan, menunjukkan tahap penyertaan memberangsangkan dalam pemilihan kali ini.

Ay Ling yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri, sebelum ini pernah mencabar Noor Amin yang merupakan penyandang jawatan itu dalam pemilihan lepas namun gagal.

Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis (ADUN) Indera Kayangan itu merupakan wakil pembangkang tunggal di DUN Perlis, berikutan Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 daripada 15 kerusi pada pilihan raya negeri Perlis pada 2022 lalu.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Perlis yang juga bekas ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap gagal mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Cabang Kangar apabila tewas kepada Nazman Omar, dengan perbezaan 78 undi.

Sementara itu, K Manivanan berjaya merebut jawatan Ketua Cabang Keadilan Arau selepas memperoleh kemenangan selesa dalam pemilihan dengan memperoleh 360 undi, mengatasi tiga pencabar lain iaitu Ibrahim Din meraih 150 undi, Mohd Fauzi Yom (53 undi) serta Amran Darus (39 undi).

Jawatan Timbalan Ketua Cabang Arau menyaksikan pertandingan lima penjuru namun menjadi milik Hasparizal Hassan (308 undi) mengatasi Ku Heshamudin Ku Bakar (121 undi),

Azhar Ameir (83 undi), Rohizan Musa (50 undi) dan Mohd Azhar Abdul Wahab (37 undi).

Kawasan Padang Besar turut menyaksikan pertandingan lima penjuru, dimenangi Zainol Samah (161 undi) untuk melayakkan beliau dilantik sebagai Ketua Cabang, selepas menewaskan Zainol Sabu (119 undi), Raskhairulimran Raszali (113), Tengku Najmi Tengku Aldin (83) dan Shaari Jusoh Chop (75 undi).

Timbalan Ketua Cabang Padang Besar pula disandang oleh Cheng Chee Yang dengan undian sebanyak 293, menewaskan Abdul Rahman Hamzah (135 undi) dan Ismail Abidin (112).

Dalam pada itu, Noor Amin memaklumkan, proses pengundian secara dalam talian mahupun fizikal bagi pemilihan membabitkan Cabang Kangar, Padang Besar dan Arau berlangsung dengan lancar tanpa sebarang isu besar.

“Pemilihan selesai pada jam 5 petang Sabtu seperti dijadualkan. Pelaksanaan sistem baharu menggunakan teknologi 'blockchain' pada pemilihan merupakan pendekatan positif dalam usaha penambahbaikan bagi memastikan proses pengundian telus,” katanya.

Menurutnya, namun kadar kehadiran pengundi secara fizikal agak rendah, dan tidak menolak kemungkinan faktor lokasi pusat mengundi yang jauh dan hanya satu dibuka di Kangar menyebabkan kurangnya kehadiran fizikal.

Difahamkan, hanya 15 daripada lebih 40 pengundi hadir mengundi secara fizikal membabitkan 10 orang bagi Cabang Kangar dan Cabang Padang Besar (lima), sementara tiada kehadiran fizikal di Cabang Arau.