Yakin pengundi Ayer Kuning tak terpedaya kempen retorik pembangkang - Mahfuz

ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) diyakini mampu mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berdasarkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan selain penolakan terhadap retorik politik pembangkang.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kempen yang dimainkan Pas setakat ini dilihat tidak memberi kesan besar kerana pengundi semakin bijak menilai dan tidak terpengaruh dengan isu-isu nasional yang sering dibangkitkan secara berlebihan.

Menurutnya, pengundi tidak akan terpedaya lagi dengan naratif ‘Islam terancam’ atau ‘Melayu tergugat’ yang disifatkan sebagai isu lapuk dan tidak lagi relevan sebagai kempen pilihan raya.

“Rakyat sudah muak dengan isu sebegitu. Isu-isu nasional yang dijadikan bahan kempen pembangkang juga tak akan jejaskan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Tiada masalah serius berkaitan hubungan antara kaum, kaum Melayu tidak terancam, yang bukan Melayu juga tiada masalah. Kerajaan menjaga kepentingan semua kaum dengan baik,” katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu di kediamannya di sini pada Khamis.

Mahfuz turut menepis dakwaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan menyebabkan berlaku pengusiran orang Melayu, seperti dijaja pemimpin pembangkang sebelum ini, sebaliknya menegaskan RUU tersebut memberi manfaat kepada semua pihak tanpa mengira kaum.

“Tak akan berlaku pengusiran seperti didakwa segelintir pihak. Contohnya, di Kedah ada flat lama seperti Flat Alor Malai sepatutnya diubah suai atau dibina semula. Penduduk hanya dipindahkan sementara rumah dibina semula, kemudian diserahkan semula kepada mereka.

“Kos pemindahan dan sewaan rumah sementara juga ditanggung pemaju. Tiada pengusiran akan berlaku,” jelas beliau.

Mengulas mengenai pandangan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis bahawa gabungan undi BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15 lalu memberi kelebihan berbanding parti lawan, namun beberapa faktor lain perlu dipertimbangkan antaranya peningkatan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan rekod, undi PN meningkat daripada sekitar 2,000 pada 2018 kepada 6,812 pada 2022 menunjukkan trend sokongan bertambah selain kemungkinan berlaku undi protes.

Ia mungkin menjadi kekuatan PN dalam PRK tersebut ekoran sentimen Melayu-Islam masih membelenggu BN-PH.

Mahfuz sebaliknya menolak kemungkinan berlaku undi protes kalangan penyokong PH, khususnya pengundi Amanah.

“Kami sebulat suara menerima keputusan mengekalkan parti yang menang bertanding di Ayer Kuning, yang membentuk kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Saya tak bimbang jika ada sedikit pengurangan undi, ia mungkin disebabkan oleh pengundi luar yang tidak dapat pulang mengundi. Saya juga tidak nampak sebarang ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan Perpaduan sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz membidas kenyataan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang mendakwa kononnya ramai pengundi di Ayer Kuning mahukan kerajaan sedia ada ditukar.

“Itu sebenarnya sindiran orang kepada mereka (Pas) yang asyik jaja isu tukar kerajaan. Tidak ada orang yang waras mahu tukar kerajaan sekarang, sedangkan prestasinya baik.

“Harga telur murah, ayam pun tiada masalah sepanjang Ramadan dan Hari Raya. Keadaan aman, rakyat bersyukur. Jangan kata orang waras, orang tak waras pun takkan tukar kerajaan sebab sekarang telur ayam murah!” ujarnya sambil berseloroh.

PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan antara BN yang mempertaruhkan Dr Mohamad Yusri Bakir, dengan Abdul Muhaimin Malek dari PN manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan Bawani KS.