Sentimen Melayu-DAP tidak jejas kempen PRK Ayer Kuning

TAPAH - Strategi memainkan sentimen Melayu-DAP tidak akan memberi kesan kepada pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, kehadiran pimpinan parti membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya menepis naratif lapuk mengenai hubungan DAP dengan masyarakat Melayu.

"Kalau betul-betul mahu lihat Melayu-DAP buat kerja datanglah ke Bangi, Bentong dan Johor, lihat sendiri bagaimana kami buat kerja.

"Saya fikir persepsi itu adalah datang daripada situasi yang mana mungkin mereka tidak mengenali pemimpin-pemimpin Melayu DAP.

"Bak kata orang 'tidak kenal maka tidak cinta'. Jadi dengan kehadiran kami di sini dan juga di tempat-tempat lain, masyarakat dapat mengenali kami lebih dekat," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Tambah beliau, DAP Perak turut mempunyai wakil Melayu termasuk Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Syahredzan berkata, sokongan penuh parti itu terhadap kempen calon BN selari dengan janji kerajaan perpaduan untuk saling bekerjasama dalam kalangan parti gabungannya.

"Saya fikir antara cabaran adalah dalam mana-mana PRK adalah peratusan pengundi itu keluar yang mana situasi itu berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

"Jadi kita hendak yakinkan para pengundi untuk keluar mengundi, untuk pulang mengundi lebih-lebih lagi hari raya pun baru lepas dan sebagainya. Saya fikir itu antara perkara yang akan difokuskan oleh DAP dalam kempen ini," katanya.

Syahredzan berkata, adalah penting untuk ketengahkan prestasi kerajaan negeri bagi menyakinkan pengundi dalam kawasan Ayer Kuning.

"Untuk meyakinkan pengundi sama seperti PRK lain, kerajaan negeri telah menunjukkan prestasi yang begitu baik.

"Pada masa yang sama, kita kena tunjukkan kesinambungan apa yang telah dijalankan oleh Allahyarham (Ishsam Shahruddin) dapat diteruskan," katanya.