BIDOR - Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan Perak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju dan kontraktor susulan insiden paip pecah yang membekalkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kejadian tersebut menyebabkan berlaku gangguan bekalan air kepada 50,000 akaun pengguna selama hampir dua minggu.
Menurut beliau, Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir Lokman Abd Rahim mengesahkan pada 10 Februari lalu bahawa ia berpunca daripada aktiviti pencerobohan tanah rizab milik LAP oleh kontraktor.
“Kejadian ini merugikan penduduk, perniagaan dan juga kos pembaikan tinggi kepada LAP. Lebih malang lagi yang menceroboh kontraktor, tetapi yang menanggung kos baik pulih ialah LAP.
“Jadi saya ingin kemuka beberapa persoalan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, adakah pelan diluluskan semasa permohonan kebenaran merancang oleh pemaju tidak melibatkan kawasan rizab LAP dan kontraktor menceroboh ketika pembinaan berjalan?
“Atau pelan yang diluluskan sememangnya telah menceroboh kawasan rizab LAP? Di manakah peranan majlis daerah yang sepatutnya memantau kerja pembinaan projek ini?
“Apakah pemeriksaan tapak tidak dilakukan sehingga berlakunya pencerobohan? Apa tindakan terhadap pemaju yang terbukti menceroboh hingga menyebabkan gangguan besar kepada rakyat Tapah?” soal beliau.
Idris berkata demikian ketika sidang akhbar harian di pusat media PN di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, runtuhan tanah yang berlaku pada Februari lalu mengakibatkan tiga rumah penduduk di Taman Bunga Raya mengalami keretakan dan berisiko untuk diduduki.
Insiden sama juga menyebabkan paip saluran bawah tanah milik LAP yang mengalir ke LRA Bukit Temoh bocor hingga mengakibatkan beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan air.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berpandangan, insiden berkenaan bukan sahaja menyusahkan ribuan keluarga dan peniaga, tetapi juga menggugat keyakinan rakyat terhadap kecekapan tadbir urus kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Justeru, tambahnya, kerajaan negeri patut menamakan kontraktor terlibat di samping menyemak semula sistem urus tadbir agensi agar sebarang kelompongan dapat diperbaiki.
“Rakyat berhak tahu siapa yang cuai, siapa yang meluluskan dan siapa yang melindungi penceroboh hingga menyebabkan krisis bekalan air terbesar di Tapah tahun ini.
“Jangan biarkan insiden ini berlalu tanpa tindakan. Rakyat menuntut jawapan,” tegasnya.