Isu 3R sudah tidak relevan untuk modal politik PRK - Adly

KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) tidak lagi relevan untuk dijadikan bahan kempen dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK) di negara ini.

Naib Presidennya, Adly Zahari berkata, pendekatan politik sebegitu bukan sahaja 'membakar' diri malah boleh 'membakar' negara.

"Jika perkara itu (3R) diteruskan ia boleh memberikan sesuatu yang cukup buruk pada negara.

"Ia boleh diumpamakan seperti kalah jadi abu, menang jadi arang. Ia tidak akan memberikan manfaat kepada mana-mana pihak, sebab itu, kalau mahu melangkah ke hadapan isu 3R mesti ditinggalkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini pada Khamis.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.

Menurut Adly, menjelang PRK Ayer Kuning yang akan datang, parti dalam Kerajaan Perpaduan akan memberi tumpuan kepada isu-isu setempat yang lebih dekat dengan rakyat.

Katanya, isu tersebut dilihat lebih relevan dan Kerajaan Perpaduan akan terus menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.