Pemilihan PKR: Tian Chua dakwa beli undi bukan perkara baharu

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengakui tidak terkejut terhadap 'pembelian undi' seperti video yang tular semasa pemilihan parti berkenaan.

Beliau berkata, perkara sama berlaku dalam pemilihan parti lalu yang merupakan salah satu punca kekalahan beliau sebagai Ketua Cabang Batu.

"Ketika itu, aduan telah dibuat tetapi tiada tindakan dari kepimpinan parti, walaupun kali ini bukti nyata dan kukuh dah menjadi viral (tular), namun saya yakin 100 peratus tiada apa yang akan berlaku," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Menurut Tian Chua, pelaku bukan sahaja menikmati kekebalan kerana status istimewa sebagai yang berhormat (YB), malah disayangi pucuk pimpinan.

"Mereka ini kini dilayan seperti aset nilai tinggi yang mesti dipertahankan apa jua caranya,” tegasnya.

Tian Chua memberitahu, kebanjiran pemimpin muda yang bergantung kepada sokongan elit parti untuk naik dalam hierarki telah menenggelamkan semangat reformasi yang menjadi asas penubuhan PKR.

"Inilah realiti sedih PKR hari ini dan saya kasihan kepada rakan-rakan yang bertanding dalam pemilihan dan masih bermimpi bahawa mereka boleh ambil bahagian secara bersih dan jujur,” katanya.

Beliau menasihatkan agar calon yang kalah akibat permainan politik kotor tidak berputus asa dan terus mempertahankan idealisme perjuangan.

"Kemungkinan besar mereka tewas oleh taktik kotor dan harap mereka tidak terus kecewa," jelasnya.