TAPAH - Cubaan pembangkang untuk mengembalikan kemenangan di Sungai Bakap ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dilihat tidak akan membuahkan hasil.
Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya menyedari kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap ekoran emosi rakyat yang bercampur baur, ditambah pula banyak isu nasional dimainkan ketika itu.
Justeru, menurutnya, tiada emosi yang akan mempengaruhi pemikiran rakyat dan pihaknya yakin parti berjaya mempertahankan kerusi DUN kali ini.
“Saya pergi ke Sungai Bakap banyak kali dan saya tahu kenapa kalah disebabkan waktu itu ada isu penarikan balik subsidi diesel, BlackRock, titah adendum dan kenaikan tarif air.
“Akhirnya pada 26 April nanti kemenangannya akan diterjemahkan. Dari segi kempen, saya memberitahu calon supaya turun padang ke 20 pusat daerah mengundi (PDM) perlu diselesaikan dalam minggu pertama.
“Minggu kedua mereka hanya mengulangi sahaja,” katanya ketika ditemui media di PDM Batu Tiga di sini pada Khamis.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka Tapah di sini.
BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 39.
Ahmad memberitahu, pihaknya menggunakan kaedah jentera berlapis yang dibahagikan kepada tig lapisan sepanjang pilihan raya.
“Lapisan pertama adalah jentera tempatan, kedua jentera angkat bahagian-bahagian dari negeri Perak dan ketiga pula jentera angkat daripada negeri-negeri.
“Dua daripadanya membantu jentera tempatan. Jadi, itu kaedah kita dengan jentera yang berlapis-lapis.
“Tidak ada emosi yang menimbulkan keresahan rakyat. Saya ada keyakinan bahawa kita (BN) boleh menang dengan baik,” ujar beliau lagi.