SHAH ALAM - Lebih 17,500 permohonan diterima untuk pencalonan bagi pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 melibatkan 222 cabang di seluruh negara selepas proses penamaan calon ditutup pada 16 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, jumlah pencalonan yang besar itu turut mencerminkan komitmen tinggi anggota parti dalam mengukuhkan proses demokrasi dalaman yang matang dan inklusif.
"Kini, pemilihan akan memasuki fasa seterusnya, iaitu proses bantahan terhadap calon-calon, yang akan berlangsung mulai 18 Mac pada 12 tengah hari ini hingga 20 Mac atau 11.59 malam.
"Selepas itu, proses rayuan terhadap bantahan akan dibuka dari 24 hingga 25 Mac untuk memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua calon yang bertanding," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Pemilihan pimpinan pusat PKR dijangka berlangsung pada 24 Mei, bermula dengan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April depan.
Sementara itu, Dr Zaliha menambah, mana-mana calon yang memilih untuk menarik diri atau membatalkan pencalonan diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum 20 Mac ini.
Ujarnya, selepas melalui semua proses ini, senarai muktamad pencalonan bagi Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang akan diumumkan pada 28 Mac.
"JPP ingin menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang telah menyertai proses ini dengan penuh semangat dan dedikasi. Penyertaan besar ini membuktikan bahawa PKR terus menjadi wadah perjuangan yang demokratik, inklusif dan terbuka kepada penyertaan akar umbi.
"Sehubungan itu, JPP mengingatkan semua calon dan penyokong agar terus mematuhi tatacara pemilihan bagi memastikan proses ini berjalan dengan lancar, telus dan harmoni," katanya.