CEC DAP: Hentikan tuduhan melampau terhadap dua pemimpin Melayu

GEORGE TOWN - Kejayaan dua pemimpin Melayu yang dipilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP adalah contoh terbaik kepada generasi baharu yang mahu melihat perubahan positif dalam politik negara.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, Daniel Gooi berkata, kejayaan Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman yang dipilih sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan serta Penolong Setiausaha Publisiti DAP tidak sepatutnya disalah anggap dengan tohmahan serta fitnah jahat yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Menurutnya, gambaran jahat yang dilontarkan terhadap kedua-dua pemimpin muda ini seperti murtad dan kafir perlu dihentikan kerana jelas ia satu tuduhan melampau.

"Tuduhan jahat yang dilemparkan terhadap mereka tidak berlandaskan fakta dan hanya bertujuan untuk mengganggu keharmonian masyarakat.

"Mereka adalah dua individu yang amat dihormati dalam DAP dan serta disayangi masyarakat dalam kawasan Parlimen Bangi dan juga Bentong di atas sumbangan dan dedikasi mereka," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Daniel Gooi yang juga Exco Kesihatan, Belia dan Sukan Pulau Pinang menyeru agar semua tidak terpengaruh dengan gambaran jahat yang dilakukan oleh golongan ekstrem sebaliknya menyambut baik kepada sesiapa sahaja yang ingin melakukan kebaikan serta mencegah kemungkaran dalam wadah politik pilihan masing-masing.

Katanya, masyarakat perlu kembali dengan nilai kesederhanaan, toleransi dan persefahaman untuk memerangi ekstremisme terutama dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan dua pemimpin Melayu yang dipilih menganggotai CEC DAP berang dengan tindakan segelintir warga maya yang menuduh mereka murtad menggunakan akaun media sosial palsu.

Syahredzan berkata, beliau dan Young Syefura menerima pelbagai tohmahan sebaik diberi mandat pada pemilihan CEC DAP baru-baru ini.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, menurut Ahli Parlimen Bangi tersebut, ia berkemungkinan hasil didikan daripada pemimpin parti pilihan masing-masing.

"Sejak saya dan Young Syefura dipilih menganggotai CEC DAP, macam-macam tohmahan dilemparkan kepada kami tapi yang paling melampau adalah tuduhan bahawa kami murtad.

"Mungkin inilah hasil tunjuk ajar pemimpin mereka?

"Ramai kata suruh saman, tapi komen yang dibuat itu ‘anonymous’ dan tidak menggunakan nama sebenar. Mereka tak berani guna nama sebenar," katanya menerusi hantaran di Facebook.