Era baharu selepas Dinasti Lim

SHAH ALAM - Keputusan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP penggal 2025-2028 menyaksikan pengaruh ‘Dinasti Lim’ kian terhakis apabila Lim Guan Eng sekadar mendapat tempat ke-26 daripada 30 kerusi dipertandingkan manakala adiknya, Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan, tersingkir.

Pada pemilihan CEC 2022, Guan Eng dan Hui Ying masing-masing menduduki tempat kelapan dan ke-15.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berpandangan, faktor dakwaan rasuah khususnya membabitkan Guan Eng mengakibatkan dua beradik itu terjejas teruk dalam pemilihan kali ini.

Selain itu menurutnya, pendekatan sederhana dan diplomatik yang ditonjolkan Setiausaha Agung, Anthony Loke, lebih diterima oleh perwakilan berbanding gaya keras dan konfrontasi yang sering dikaitkan dengan Guan Eng.

“Kejatuhan beberapa pemimpin senior lain juga boleh ditafsirkan sebagai isyarat ahli DAP lebih cenderung memilih pemimpin yang pragmatik dan fokus kepada pentadbiran berbanding mereka yang terpalit kontroversi.

“Kepimpinan baharu yang lebih inklusif dan bersifat sederhana ini mampu memperkukuh kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan, namun pada masa sama, DAP perlu mengurus persepsi penyokong tegar yang masih mengharapkan pendekatan agresif dalam memperjuangkan isu-isu tertentu,” katanya kepada Sinar Harian.

Keluarga Lim mula mendominasi DAP selepas Tan Sri Lim Kit Siang dilantik sebagai Setiausaha Agung selama 30 tahun dari 1969 hingga 1999. Kit Siang kemudian menjadi Pengerusi DAP Kebangsaan dari Disember 1999 hingga September 2004.

Anaknya, Guan Eng menjadi Setiausaha Agung dari Mei 2004 hingga Mac 2022 sebelum dilantik sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan dari Mac 2022 hingga Mac 2025.

Susulan pemilihan Ahad lalu, Guan Eng - bekas Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, kini sekadar dilantik sebagai Penasihat DAP Kebangsaan.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung. Ia penggal kedua Anthony menjawat jawatan berkenaan sejak mengambil alih daripada Guan Eng pada 2022.

Tidak seperti kebanyakan parti lain di negara ini di mana Presiden adalah jawatan utama, namun dalam DAP, Setiausaha Agung merupakan individu yang paling berkuasa.

Undi pemimpin kanan merosot

Pemilihan CEC 2025 juga menyaksikan kedudukan undi beberapa pemimpin kanan merosot berbanding pemilihan 2022. Anthony sendiri jatuh dua tangga dari tempat ketiga ke tempat kelima manakala Menteri Sumber Manusia, Steven Sim merosot dari tempat ketujuh ke tempat ke-11.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turun sedikit dari tempat ke-12 ke tempat ke-13. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula mengalami kejatuhan ketara, merudum dari tempat kelima ke kedudukan ke-15.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok langsung tidak masuk senarai Top 30, kekalahan besar berbanding kedudukan keempat pada 2022. Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng juga terkeluar berbanding tempat ke-14 sebelumnya.

Melihat kepada keputusan berkenaan, Kamarul Zaman menegaskan, jawatan menteri atau timbalan menteri Kabinet tidak menjamin sokongan kerana ahli lebih menilai prestasi individu dalam parti berbanding kedudukan dalam kerajaan, antaranya disebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi.

“Trend ini juga menunjukkan walaupun DAP sebahagian daripada kerajaan, faktor mahukan lebih banyak suara lantang memperjuangkan kepentingan parti dalam Kerajaan Perpaduan menjadi punca kurang sokongan. Ini memberi cabaran kepada pemimpin dalam kerajaan,” ujarnya.

Veteran DAP, Ronnie Liu turut berkongsi pandangan sama apabila mengaitkan elemen rasuah menjadi punca beberapa pemimpin seperti Guan Eng dan Teresa mengalami kemerosotan undi ataupun tersingkir.

“Namun saya yakin bahawa kestabilan dalam barisan kepimpinan baharu dapat dicapai sekali gus memberi impak positif kepada Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan,” kata bekas ahli CEC itu.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik bebas, Datuk Dr M Periasamy melihat akar umbi hanya mahukan generasi muda menerajui DAP dan bukan kurang keyakinan terhadap Guan Eng.

“Kalau dahulu DAP dikenali dengan dasar sosialisme, namun sekarang di bawah pimpinan Anthony, parti membawa satu demokrasi inklusif dan tidak mengekalkan sosialisme sahaja.

“Tindakan ini membolehkan DAP bekerjasama dengan parti orang Melayu khususnya Islam,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula meramalkan DAP akan menjadi senasib dengan MCA dari segi sokongan kerana sebagai parti kerajaan, rakyat mula nampak kebolehan atau prestasi mereka.

“Kelemahan DAP bukan sahaja dinilai oleh rakyat tetapi oleh ahli partinya. Ini jelas dalam pemilihan CEC DAP semalam (Ahad). Ranking kedua-dua pihak yang berseteru merosot. Anthony Loke dan Lim Guan Eng sama-sama merosot. Teresa Kok kalah terus. Dinasti keluarga Lim juga akan pupus.

“Itu cabaran jadi parti pemerintah. Ahli parti sendiri akan nampak hipokrasi pemimpinnya. Sebab itu sebelum jadi kerajaan jangan cakap besar,” katanya di Facebook.