Takiyuddin akan jumpa TPM dalam masa terdekat

SHAH ALAM - Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan beliau akan menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang mengenai peruntukan ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak memberi penjelasan lanjut mengenai tarikh pertemuan tersebut.

“Saya tak berhasrat akan bagi apa-apa kenyataan berkenaan itu sebab menghormati permintaan TPM.

“Saya tak mahu komen... tetapi saya akan jumpa beliau,” katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, Fadillah memaklumkan, PN sudah menghantar surat berhubung permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi ahli Parlimen pembangkang.

Jelasnya, surat berkenaan dihantar oleh Takiyuddin pada Jumaat lalu dan baru sahaja menerimanya.

Menurut Fadillah, beliau akan memberi respons selepas meneliti dan mendapat panduan, namun tidak perlu dibincangkan di media.

Media baru-baru ini melaporkan, antara yang bakal menerima peruntukan dalam masa terdekat daripada kerajaan ialah ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Fadillah berkata, Syed Saddiq secara prinsip telah menyatakan persetujuan bagi syarat-syarat ditetapkan kerajaan.

Pembangkang sebelum ini menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen PN sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam syarat tersebut, PN seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.