Sejak dipilih anggotai CEC DAP, macam-macam tohmahan kami terima - Syahredzan

SHAH ALAM – Dua pemimpin Melayu yang dipilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berang dengan tindakan segelintir wargamaya yang menuduh mereka murtad menggunakan akaun media sosial palsu.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, beliau dan Setiausaha Publisiti DAP, Young Syefura Othman menerima pelbagai tohmahan sebaik diberi mandat pada pemilihan CEC DAP baru-baru ini.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, menurut Ahli Parlimen Bangi tersebut, ia berkemungkinan hasil didikan daripada pemimpin parti pilihan masing-masing.

“Sejak saya dan Young Syefura dipilih menganggotai CEC DAP, macam-macam tohmahan dilemparkan kepada kami tapi yang paling melampau adalah tuduhan bahawa kami murtad.

“Mungkin inilah hasil tunjuk ajar pemimpin mereka?

“Ramai kata suruh saman, tapi komen yang dibuat itu ‘anonymous’ dan tidak menggunakan nama sebenar. Mereka tak berani guna nama sebenar," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kedua-dua wakil rakyat itu antara pemimpin Melayu yang terpilih dalam CEC DAP bagi penggal 2025 hingga 2028 berikutan memperoleh undian tertinggi daripada ahli parti.

Pegawai Pengurus Pemilihan CEC DAP, Desmond Tan memaklumkan, Syahredzan memperoleh undian sebanyak 2,065 manakala Young Syefura 1,943.

Menurut beliau, calon Melayu lain yang bertanding iaitu Azaha Abdul Rani hanya mendapat undian sebanyak 191, Sheikh 'Umar Bagharib Ali (478), Supian Zaharin (170) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (694).

Menerusi hantaran berbeza, Young Syefura berpandangan, golongan yang berselindung di sebalik akaun media sosial palsu dan bertindak melabel orang lain sesuka hati amat keterlaluan.

“Teruk sungguh kerana parti sehingga label kita ini murtad dan kafir. Parti bukan agama.

“Bulan Ramadan yang mulia ini bawa-bawalah perbanyakkan ibadah. Jangan suka-suka nak label orang begitu sekali, melampau!“ ujarnya.