'Guan Eng jiwa DAP, akan kembali' - Zaid

SHAH ALAM - Kedudukan Penasihat DAP, Lim Guan Eng dijangka kembali kukuh meskipun gagal mempertahankan jawatan pengerusi, kerana beliau boleh dianggap sebagai ‘jiwa’ dan identiti parti itu.

Bekas Pengerusi DAP Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pihak yang bersorak gembira dengan kemerosotan undi Guan Eng dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP baru-baru ini disifatkan sebagai tersilap.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, tiada masalah jika ahli mahukan kepimpinan baharu, namun pengaruh DAP tidak akan sama selepas Guan Eng tidak lagi memegang jawatan pengerusi.

"Kepada mereka yang gembira melihat Guan Eng hampir tersingkir, anda silap! Guan Eng akan kembali kerana beliau adalah 'jiwa' parti ini.

"Jika anda mahukan kepimpinan baharu, anda boleh memilikinya. Namun, DAP tidak akan sama selepas ini kerana Guan Eng telah membentuk landskap politik parti. Tanpa beliau, DAP akan menjadi seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau UMNO," katanya menerusi hantaran di X pada Isnin.

Dalam pemilihan CEC DAP yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad, Guan Eng dilantik sebagai Penasihat DAP Kebangsaan bagi penggal 2025 hingga 2028.

Jawatan Pengerusi DAP Kebangsaan kini disandang oleh Gobind Singh Deo, manakala Nga Kor Ming sebagai Timbalan Pengerusi, dan Anthony Loke Siew Fook kekal sebagai Setiausaha Agung parti.

Zaid berpandangan, negara muda seperti Malaysia memerlukan ahli politik yang memiliki aspirasi dan impian, tidak kira daripada DAP, Pas mahupun UMNO.

Tambahnya, walaupun Guan Eng sering mengutarakan pendapat yang mencetuskan perdebatan, ia tidak berlarutan dan akhirnya menyatukan parti.

"Kita perlu melalui proses itu walaupun sukar dan mengambil masa. Jika pemimpin parti memilih jalan pintas serta mengutamakan 'kestabilan' tanpa perdebatan sihat, kita tidak akan mempunyai identiti politik yang jelas.

"Rakyat Malaysia yang mudah melupakan sejarah mungkin meraikan pemergian Guan Eng, tetapi saya berharap beliau akan membuat kemunculan semula," katanya.

Untuk rekod, Guan Eng dipilih menganggotai CEC DAP bagi penggal 2025 hingga 2028 selepas memperoleh 1,719 undi, meletakkannya di tangga ke-26 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan.

Ahli Parlimen Bagan itu kemudiannya dilantik sebagai penasihat, iaitu satu jawatan baharu yang sebelum ini tidak wujud dalam DAP.

Pada pemilihan CEC DAP 2022, Anthony Loke Siew Fook dipilih sebagai Setiausaha Agung selepas memperoleh undian ketiga tertinggi, manakala Guan Eng berada di kedudukan kelapan.