IPOH - Strategi Perikatan Nasional (PN) dengan memainkan sentimen UMNO-DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak akan beri kesan kepada pengundi Melayu.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, dasar parti itu tidak berubah walaupun pernah bekerjasama dengan pelbagai parti politik termasuk Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kini UMNO dalam kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, DAP kekal komited dengan prinsip serta dasar yang telah dipersetujui dalam gabungan politik yang disertai tanpa tunduk kepada mana-mana pihak.
"Dari Pakatan Rakyat ke Pakatan Harapan (PH), kita tetap komited dan menandatangani syarat yang dipersetujui. Tidak ada soal perubahan dasar kerana bergantung kepada kerajaan.
"Strategi PN yang sering memainkan sentimen UMNO-DAP untuk menarik pengundi Melayu mungkin tidak lagi berkesan, memandangkan gabungan PH-UMNO kini lebih stabil," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menepis dakwaan pembangkang bahawa DAP mendominasi kerajaan Perpaduan sedangkan realitinya perkara itu tidak berlaku.
Beliau menegaskan setiap keputusan dibuat secara bersama dan selaras dengan keperluan gabungan politik yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Isu yang sering dimainkan seperti cadangan melantik menteri bukan Islam pun sudah selesai. Tak ada apa-apa yang berubah. Isu kerajaan perpaduan menentang bukan Islam pun sudah selesai.
“Jika kita ambil contoh, Perdana Menteri sendiri telah menolak perkara itu dengan tegas. Jadi, apa asasnya untuk mengatakan DAP mendominasi kerajaan?” katanya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, dalam tempoh lebih dua tahun ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memfokuskan kepada orang Melayu, termasuk dalam aspek pembangunan bandar dan perundangan.
Sementara itu, mengenai keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diumumkan semalam, beliau menyifatkan ia sebagai langkah biasa dalam parti yang mencerminkan kematangan politik dan hala tuju masa depan parti.
Beliau berharap isu-isu yang dimainkan oleh pihak lawan mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan dapat dihentikan dan rakyat dapat menilai berdasarkan fakta serta pencapaian kerajaan semasa.