SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Nasional (Amanah) menyelar Perikatan Nasional (PN) yang memperlekeh cadangan pelaksanaan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid Haron berkata, cadangan tersebut bukan sahaja selaras dengan prinsip demokrasi moden, malah telah dilaksanakan oleh negara-negara maju untuk memastikan peralihan kuasa yang lebih sihat dan mengelakkan monopoli kepimpinan.
Menurutnya, negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Indonesia, Brazil, Mexico, dan Filipina sudah lama mengamalkan had penggal untuk pemimpin mereka.
"Misalnya, Amerika Syarikat menghadkan Presiden kepada dua penggal selama empat tahun setiap satu melalui Pindaan ke-22 Perlembagaan, manakala Indonesia dan Perancis turut menetapkan had serupa bagi memastikan kepimpinan dinamik dan bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Danial menambah, cadangan had dua penggal untuk Perdana Menteri Malaysia adalah langkah yang munasabah dan selari dengan prinsip demokrasi yang menekankan ketelusan, kestabilan, dan integriti dalam pentadbiran.
"Malaysia perlu bergerak maju dengan dasar progresif dan bukannya terus terperangkap dalam politik lapuk yang hanya menguntungkan segelintir pihak," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyindir PN yang didakwa tidak mempunyai calon yang berkaliber dan hanya bergantung kepada pemimpin lama yang semakin kehilangan sokongan.
“Mungkin PN tiada calon pelbagai, hanya mengulang pemimpin sedia ada sahaja. Itu pun, semakin ramai pemimpin mereka yang keluar dari Perikatan, hanya tinggal 'dinosaur' tua kelaparan," sindirnya.
Danial turut menyatakan bahawa jika rakyat mahu negara terus mundur, memilih PN adalah pilihan yang tepat, namun Kerajaan Madani tetap komited membawa reformasi dan pembaharuan untuk masa depan negara.
"Dalam masa kita mahu maju dengan reformasi, mereka masih terperangkap dengan isu yang diulang-ulang tanpa solusi. Rakyat perlu menilai dengan bijak," tambahnya.