Had 10 tahun jawatan PM, Lip Eng sindir Afnan Hamimi alami penyakit lupa

SHAH ALAM - Di sebalik ketakutan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berhubung isu mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal, kerajaan PN pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pernah mencadangkan perkara sama sebelum ini.

Menyindir Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai mengalami penyakit lupa yang serius, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Muhyiddin menyampaikan cadangan itu dalam satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di semua saluran media arus perdana.

"Mungkin pada ketika itu, Afnan sedang dibuai lena atau mungkin Afnan antara operator parti Pas yang terpaksa berdiam diri walaupun tidak bersetuju dengan cadangan terbabit ketika itu.

"Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri adalah perlu untuk memastikan mana-mana individu tidak diberikan kuasa melampau.

"Ia merupakan suatu langkah semak imbang dalam proses demokrasi yang sihat supaya kuasa dan pengaruh tidak dipusatkan kepada mana-mana individu serta kawan-kawannya sahaja," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Afnan Hamimi menerusi hantaran di Facebook berkata, satu demi satu Perlembagaan sedang dirungkai dan diubah mengikut 'selera nafsu' dan kehendak kerajaan.

Beliau dipercayai merujuk cadangan DAP supaya Perlembagaan dipinda bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelaskan lanjut, Lip Eng berkata, hal itu telah dilaksanakan di Pulau Pinang melalui pindaan perlembagaan negeri pada 2018, selari dengan ucapan Tun Dr Mahathir ketika membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat.

Menurut Lip Eng, ia bukan perkara baharu yang menjadi 'agenda minoriti untuk mengawal majoriti' seperti yang diungkapkan oleh Afnan Hamimi.

"Apa masalah Afnan untuk memahami bahasa Melayu yang begitu mudah, sehingga terpaksa bersilat kata dan memutar belit agenda transformasi yang begitu baik menjadi sesuatu sarat dengan bahasa perkauman?

"Adakah Afnan dan Pemuda Pas begitu kontang idea sehingga benda begini pun mahu dijadikan isu perkauman pada bulan Ramadan yang mulia ini?

"Begitu rendah sekali kah nilai pemikiran masyarakat Melayu di mata Afnan dan Pemuda Pas?" ujarnya.

Menurutnya, jawatan Perdana Menteri adalah amanah yang dipikul daripada mandat rakyat Malaysia.

"Ia bukan keistimewaan yang boleh dijadikan habuan tidak berkesudahan sehingga ke hujung nyawa. Afnan perlu segera sedar hal ini ketimbang memperlihatkan kedangkalannya kepada orang ramai dan memalukan diri sendiri," ujarnya.