Guan Eng yakin DAP bersatu di bawah pimpinan Anthony

SHAH ALAM - Ahli DAP diyakini mampu bersatu di bawah pimpinan baharu Pengerusi Kebangsaan, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.

Justeru, Penasihatnya, Lim Guan Eng menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua ahli di atas keprihatinan dan dorongan sepanjang memegang jawatan pengerusi kebangsaan selama ini.

"Ramai yang menyatakan kebimbangan tentang laporan berita mengenai saya. Jadi, saya hanya mahu ambil masa untuk ucap terima kasih buat semua penyokong dan mereka yang tidak menyokong saya.

"Terima kasih di atas keprihatinan dan dorongan anda, saya sangat hargai. Tahniah buat Anthony kerana menjadi setiausaha agung kami sekali lagi dan Gobind yang baru dilantik sebagai pengerusi DAP kebangsaan.

"Saya mengharapkan kejayaan daripada kedua-duanya dan yakin penyokong akan bersatu di bawah pimpinan Anthony. Mari kita maju bersama-sama untuk menjadikan DAP lebih kuat!" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Pada Ahad, seramai 30 ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dilantik memimpin parti bagi penggal 2025 hingga 2028.

Nga Kor Ming dilantik sebagai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan manakala lima Naib Pengerusi Kebangsaan dipilih iaitu Chong Chieng Jen, Teo Nie Ching, Ng Suee Lim, Syahredzan Johan dan J Arul Kumar.

Gobind mendahului senarai ahli CEC DAP dengan memperoleh undian tertinggi sebanyak 2,785 dalam pemilihan sempena Kongres DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.