Pemuda Pas Pahang agih RM134,000 'bonus' raya

TEMERLOH – Seramai 1,212 kakitangan di bawah sektor pendidikan Dewan Pemuda Pas Pahang menerima sumbangan sebanyak RM134,000 sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, sumbangan Dewan Pemuda Pas negeri ini meningkat berbanding tahun lalu sebanyak RM30,390.

Menurutnya, sumbangan itu akan diagihkan kepada semua guru dan pembantu guru di bawah naungan Dewan Pemuda Pas Pahang, antaranya Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) dan Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS).

"Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan daripada Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang kepada semua guru yang bertungkus-lumus mendidik anak bangsa mengikut sistem pendidikan di bawah sektor tersebut.

"Untuk makluman, pada sesi 2025, seramai 11,723 pelajar mengikuti sistem pendidikan di bawah seliaan sektor pendidikan Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang," katanya pada Isnin.

Jelasnya, sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang, Mohd Khairul Nizam Che Mustofai, pada Ahad.

Katanya, sumbangan itu diharap dapat memberi kelegaan kepada para guru dalam membuat persiapan menghadapi Aidilfitri.

Tegasnya, Pemuda Pas Pahang terus komited dalam memastikan sektor pendidikan terus berkembang dan memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik.