Perwakilan laung 'Gobind', gantung bunga malai selepas diumum terajui DAP

SHAH ALAM - Perwakilan bersorak kegembiraan apabila Gobind Singh Deo dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan bagi penggal 2025 hingga 2028.

Laungan 'Gobind' jelas kedengaran memenuhi pekarangan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan 30 anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti berkenaan.

Lebih mengharukan, perwakilan sempat menggantung bunga malai pada leher Gobind sebaik diumumkan sebagai pengerusi parti.

Gobind berkata, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada perwakilan kerana sudi membuang undi dan memilihnya dalam pemilihan kali ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada perwakilan kerana mereka menaruh kepercayaan kepada saya.

"Tanggungjawab ini cukup besar dan saya menerimanya, jadi ayuh kita teruskan perjalanan serta perkukuhkan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Kongres ke-18 DAP, bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.

Seramai 65 calon berentap bagi merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.