SHAH ALAM - DAP memohon kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dalam konteks menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan perlu melaksanakannya dalam tempoh 24 bulan ini memandangkan ia salah satu manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.
Menurut beliau, pihaknya juga akan menyokong dan mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya kembali membentuk kerajaan pada PRU ke-16 (PRU16).
"Kita bukan minta Anwar berhenti, tetapi pindaan ini akan menjadi legasi kepada beliau dalam sistem pentadbiran kita.
"DAP komited untuk terus menyokong Anwar memegang jawatan Perdana Menteri selepas PRU16, sama ada dalam model Kerajaan Perpaduan atau konfigurasi baharu.
"Parti akan terus berpegang dengan kata-kata bahawa yang mewakili Pakatan Harapan (PH), tiada calon kedua selain Anwar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres ke-18 DAP yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.
Hadir sama, Anwar yang juga Pengerusi PH; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Menerusi kongres tersebut, pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP turut diadakan, menyaksikan 65 calon berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
Proses pemilihan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.
Anthony turut memaklumkan, pindaan perlembagaan itu diharap dilakukan segera, antara lain bagi memastikan pengasingan tugas Peguam Negara dan Pendakwa Raya dapat direalisasikan.
"Ini memang usaha berterusan yang sedang dilaksanakan kerajaan.
"Minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) untuk melihat bagaimana pelaksanaannya di sana," ujar beliau.