[ANALISIS] Skop kerja YB perlu naratif baharu, elak terbabit rasuah dan lompat parti

SHAH ALAM - Golongan profesional, bertanggungjawab, memiliki kreadibiliti dan berintegriti, itu antara kriteria untuk calon wakil rakyat termasuk menetapi sifat kepimpinan.

Pucuk pimpinan parti politik juga tidak perlu mengamalkan pilih kasih atau kronisme dalam pemilihan calon wakil rakyat kerana sifat ini boleh mengaburkan pandangannya dalam pemilihan calon berwibawa.

Malah jika diuji dengan wang ringgit sekalipun, mereka pastinya menolak untuk terus setia dengan parti kerana jika difikirkan nama partilah yang membawa kemenangan buat seseorang calon itu dan tentu tidak timbul isu lompat parti pada masa hadapan.

ADUN Sungai Panjang, Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, senario politik kini memerlukan calon yang segar mampu menggalas tugas dan tanggungjawab selain mempunyai kredibiliti.

“Jika menyentuh soal calon, sudah pasti ia di bawah tanggungjawab parti. Namun pandangan kepartian, perlu memilih individu yang matang, mempunyai jati diri, utamakan rakyat dan tidak meletakkan kepentingan diri sebagai keutamaan.

“Juga meramaikan golongan profesional kerana golongan ini kurang berpolitik. Jangan jadi wakil rakyat yang ghairah ‘berpolitik’ hingga mengabaikan tanggungjawab, kebajikan rakyat,” katanya.

Melihat budaya keluar parti, isytihar sebagai wakil rakyat bebas mahupun melompat keparti lain seolah-olah sudah menjadi trend segelintir ahli politik kini, Mohd Tamrin daripada parti UMNO menegaskan, sudah tiba masanya Parlimen dibuka semula.

“Perbuatan wakil rakyat lompat parti seolah-olah menjadi trend masa kini. Jadi pendapat saya, Parlimen perlu dibuka semula agar wakil rakyat boleh mengusul satu rang undang-undang terbaik untuk mengekang berlakunya isu lompat parti dalam kalangan ahli politik.

“Jika perkara (lompat parti) ini berterusan, rakyat akan hilang kepercayaan kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih,” ujarnya.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar ini turut menyindir segelintir wakil rakyat yang memilih lompat parti kononnya mahu membela rakyat bukan demi habuan.

“Ini sebab jika menjadi pihak pembangkang, peruntukan tidak diberikan kepada kami sebagaimana yang diterima oleh Ahli Parlimen penyokong kerajaan.

“Isu ini perlu diberi perhatian kerana sewajarnya Ahli Parlimen pembangkang dapat menerima peruntukan bagi membolehkan mereka menyalur dan mengusahakan bantuan kepada penduduk di kawasan masing-masing yang terbeban akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

“Kita kena tengok balik dasar-dasar kerajaan dan perlu mengikut peredaran semasa. Rakyat di luar sana ramai yang berpelajaran, pandai menilai, wakil rakyat sekarang tidak perlu dibezakan dari segi peruntukan. Kerajaan atau bukan kerajaan perlu beri sama rata, perkara ini juga sudah dilaksanakan di Johor dan Perak dan perlu diikuti oleh seluruh negeri,” katanya.

Beliau juga menambah, sekiranya pemimpin itu datangnya daripada pihak kerajaan, mereka perlu melaksanakan apa disarankan oleh pucuk pimpinan termasuk dasar dan polisi sedia ada.

“Malah jika mereka ditakdirkan duduk di bawah parti yang tidak membentuk kerajaan, laksanakan juga tanggungjawab sebagai pembangkang, jadi tidak perlulah dalam tempoh selepas pilihan raya ini berlaku percaturan kuasa nak membentuk kerajaan yang lain.

“Kalau hendak sangat tukar parti, tunggu selepas tamat penggal,” katanya.

Selain itu, beliau juga memberitahu, pengundi (rakyat) perlu membuang stigma wakil rakyat itu perlu seseorang yang berharta.

“Benar wakil rakyat perlu mempunyai ekonomi yang stabil kerana ketika bertanding pada pilihan raya, perlu menggunakan wang yang banyak untuk berkempen.

“Namun jangan menjadikan kekayaan itu sebagai batu pengukur dalam memilih calon wakil rakyat sebaliknya memilih individu yang mampu memberi perkhidmatan terbaik sebagai ahli perundangan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berfungsi untuk membahas, mengkritik, menyokong dan meluluskan undang-undang dan dasar negara,” katanya.

Menurutnya, ketika ini persepsi rakyat berbeza apabila sentiasa berharap wakil rakyat dapat memberikan perkhidmatan dan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira masa serta keadaan.

“Rakyat sentiasa berharap wakil rakyat dapat menyelesaikan setiap masalah yang mereka hadapi.

“Wakil rakyat bukan ‘Santa Claus’ boleh selesaikan apa jua masalah. Kalau bantuan itu berbentuk menyeluruh boleh dibantu tetapi bukan bersifat peribadi.

“Ini sebab jika ia bersifat peribadi, bimbang wakil rakyat itu mudah terjerumus dalam politik wang. Maksudnya mengejar sokongan, menabur janji dengan wang, baik jentera, pengundi, penyokong disogok dengan wang. Benda ini tak kekal, lama-lama duit pun habis kalau diguna berbeza dengan idealisme, perkhidmatan yang ditawarkan,” jelasnya.

Bagaimanapun kata peguambela serta penguamcara ini, wakil rakyat itu perlu peka dan prihatin kehendak lokaliti bukan hanya kepentingan parti atau individu semata.

MOHD IMRAN TAMRINBN

Berita Popular

Video Popular