KOTA BHARU - Majlis Bekas Wakil Rakyat Cawangan Kelantan (Mubarak) mahu UMNO terus turun bertemu dengan rakyat dan tidak menunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) untuk berbuat demikian.
Yang Dipertuanya, Datuk Rozali Isohak berkata, tindakan itu bagi memastikan rakyat terus melekat dengan UMNO selain mengingat segala jasa yang telah dicurahkan sebelum ini.
"Sebagai sebuah parti yang banyak berjasa, UMNO perlu ceritakan kebaikan pernah dilakukan sebelum ini.
"Jangan tunggu PRU16 baru hendak rapat dengan rakyat," katanya semasa ditemui pada Majlis Anugerah Tokoh Wira Mubarak di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, hal ini kerana PRU16 dijangka berlaku tidak lama lagi.
Ujarnya, inilah masa terbaik untuk UMNO rapat dengan rakyat sekali gus mendapatkan semula kepercayaan dari rakyat di peringkat akar umbi.