Keyakinan kepada UMNO perlu dipertahan dalam kalangan anak muda - Tokoh Wira Mubarak

KOTA BHARU - Penerima anugerah Tokoh Wira Majlis Bekas Wakil Rakyat Cawangan Kelantan (Mubarak), Datuk Nozula Mat Diah menyeru agar keyakinan terhadap UMNO terus dipertahankan terutama dalam kalangan anak muda.

Beliau yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh selama enam penggal berkata, UMNO bukan sekadar parti tetapi wadah perjuangan bangsa yang telah terbukti dalam membela serta menjaga kebajikan rakyat.

"Cabaran yang lebih besar kini adalah untuk memastikan generasi muda memahami sejarah dan perjuangan UMNO yang telah banyak berjasa kepada negara.

"Untuk kembali menarik sokongan mereka (anak muda) kepada parti, adalah penting untuk mereka diberi kefahaman yang jelas mengenai jasa dan sumbangan UMNO terhadap negara, supaya mereka tidak terpengaruh dengan pandangan negatif yang disampaikan oleh pihak pembangkang," katanya.

**media[3018603]**

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menerima Anugerah Tokoh Wira Mubarak yang disampaikan oleh Yang Dipertua Mubarak Kelantan, Datuk Rozali Isohak di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang sejak tahun 2008 hingga 2018 itu berkata, keyakinan kepada UMNO perlu diteruskan dan usaha untuk menarik semula minat anak muda terhadap parti ini adalah salah satu agenda penting yang harus diberikan perhatian.

Nozula menyifatkan golongan muda sebagai aset penting dalam menentukan masa depan negara dan menyarankan agar lebih banyak usaha dilakukan untuk mendekatkan mereka dengan perjuangan dan nilai yang diperjuangkan oleh UMNO.

“Kita perlu yakinkan anak muda supaya mereka lebih yakin kepada UMNO. Mereka perlu faham apa perjuangan UMNO sejak dahulu lagi. UMNO bukan sahaja bertahan tetapi juga terus bekerja keras untuk rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun menarik sokongan daripada golongan muda mungkin bukan tugas yang mudah, usaha untuk memberi penerangan yang jelas dan tepat mengenai apa yang telah dicapai oleh UMNO perlu diteruskan.

Ini kerana, menurutnya, UMNO telah lama berjasa dan ia harus terus diperkukuhkan dengan memperkenalkan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan muda.

Dalam perkembangan sama, Nozula meluahkan rasa terharu dan bangga di atas anugerah yang julung kalinya diadakan di negara itu.

Beliau menyatakan bahawa Mubarak telah melihat perjuangannya dalam memperjuangkan hak rakyat dan menyatukan masyarakat dengan UMNO sebagai wadah perjuangan.