KUANTAN – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak berkepentingan agar berhenti mencetuskan provokasi terhadap orang Melayu.
Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan turut menggesa kerajaan agar tidak tunduk terhadap desakan pihak tertentu yang mahu menggugat kedudukan Melayu Islam melalui penggubalan akta tertentu.
“Kita telah hidup dalam keamanan dan keharmonian sejak sekian lama, maka jangan ada pihak yang cuba merosakkannya dengan memainkan sentimen perkauman secara halus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa orang Melayu tidak akan berdiam diri sekiranya hak mereka dicabar.
“Jangan sesekali menganggap bahawa orang Melayu akan terus diam dan membiarkan hak mereka dicabar.
"Apabila orang Melayu bersatu, mereka bersedia menghadapi apa sahaja yang mendatang demi mempertahankan maruah dan kedudukan mereka di Malaysia,” ujarnya.
Sebelum itu, Balachandran memaklumkan bahawa DHPP memandang serius perkembangan terkini berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan usaha untuk menyelitkan Akta Anti-Diskriminasi Kaum.
Menurutnya, kedua-dua akta ini berpotensi menjejaskan hak istimewa Melayu Islam seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kami ingin menegaskan bahawa usaha halus untuk mencabar keistimewaan orang Melayu melalui akta-akta seperti ini mesti dihentikan serta-merta.
"Jangan sesekali cuba mencetuskan provokasi terhadap orang Melayu dengan dalih memperjuangkan kesamarataan yang hakikatnya boleh menggugat keseimbangan sosial dan kestabilan negara,” jelasnya lagi.
Tambahnya, Akta URA tidak boleh dijadikan alat untuk memindahkan tanah milik orang Melayu atas nama pembangunan manakala Akta Anti-Diskriminasi tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk merombak hak keistimewaan Melayu yang telah lama termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, beliau berkata, kesan daripada akta ini bukan sahaja akan dirasai oleh orang Melayu, malah boleh memberi impak negatif kepada kaum lain, khususnya masyarakat India yang sering berdepan dengan cabaran dalam aspek sosioekonomi.
“Diskriminasi yang cuba dihapuskan melalui akta ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kaum India, yang merupakan salah satu kumpulan minoriti yang sering tertindas dalam pelbagai aspek sosioekonomi.
"Akta ini bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah sebenar, malah berisiko memburukkan lagi keadaan bagi golongan yang sudah sedia mengalami ketidakseimbangan dalam peluang pekerjaan, pendidikan dan pemilikan ekonomi,” katanya.
Balachandran menegaskan Malaysia adalah sebuah negara dengan majoriti Melayu Islam, dan semua pihak harus belajar hidup secara harmoni tanpa sengaja mencetuskan ketegangan kaum dengan terus-menerus mempersoalkan hak Melayu.
“Sikap mencabar dan memprovokasi hanya akan menggugat kestabilan yang telah lama wujud dalam masyarakat kita,” katanya.