KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berharap kerajaan yang dipimpinnya kini diberi peluang lagi oleh rakyat untuk memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau berkata, hakikatnya masih terlalu banyak yang perlu kerajaan lakukan untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
"Dengan hati dan minda yang terbuka, saya berharap kerajaan ini akan diberi peluang sekali lagi oleh rakyat untuk meneruskan pemerintahan di negeri yang bertuah ini.
"Jika kerajaan ini kembali memerintah, Insya-ALLAH kita akan kekal bersama-sama menjayakan dan memperhebatkan lagi pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 akan menjadi Hala Tuju SMJ 2.0, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat, sesuai dengan agenda untuk menjadikan Sabah negeri yang hebat," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Katanya, agenda besar kerajaan pada hari ini bukan saja untuk menjadikan Sabah sebagai negeri yang hebat tetapi juga cemerlang dalam pelbagai sektor pembangunan pada masa akan datang.
"Kerajaan telah meletakkan suatu dasar yang jelas lagi komprehensif, dasar yang terbaik untuk negeri dan seluruh rakyat.
"Dasar Hala Tuju SMJ yang kita cipta sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa, ke arah kemajuan yang holistik dan
kesejahteraan yang merangkumi setiap lapisan rakyat," katanya.
Sehubungan itu, bagi menjayakan agenda memperhebatkan negeri Sabah, jalinan kerjasama dan persefahaman antara pimpinan negeri dengan penjawat awam perlu terjalin erat dan sentiasa diperkukuhkan.
"Begitu juga dengan hubungan akrab yang sedia terjalin, antara kerajaan negeri dan Persekutuan di mana hubungan yang diibaratkan seperti aur dengan tebing, bukan sahaja harus dikekalkan, tetapi juga wajib diperkukuh lagi.
"Hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan telah membawa banyak manfaat dan faedahnya kepada kita di Sabah.
"Pelbagai isu dan perkara bukan sahaja dapat dirundingkan bahkan dapat juga diselesaikan, ini merangkumi isu berkaitan perundangan dan akta, isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan lebih penting lagi berkaitan kolaborasi antara kerajaan negeri dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas)," katanya.
Hajiji dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan yang sentiasa memberikan sokongan dan dokongan terhadap kepimpinannya sejak lima tahun ini.
"Di sebalik pelbagai halangan dan rintangan yang saya hadapi, saya masih boleh berbangga kerana anda, warga penjawat awam tetap berdiri teguh di belakang saya hingga ke hari ini", tegasnya.